27 C
Kota Kinabalu
Ahad, April 21, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Madius persoal bagaimana golongan bukan warganegara boleh terima pemberian mikro kredit AIM

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk mengadakan siasatan terhadap salah guna kuasa yang membolehkan penduduk bukan warganegara Malaysia menerima pemberian mikro kredit Yayasan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Sabah pada sekitar tahun 2013.

Ahli Parlimen, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) berkata, perkara itu perlu disiasat kerana perbuatan itu kini memberi impak kepada peminjam atau Sahabat Usahawan dari kalangan warga tempatan di negeri tersebut.

“Saya difahamkan, hanya kerana mereka miskin maka mereka telah diberikan kemudahan mikro kredit walaupun bukan warganegara.

“Dan apa yang berlaku ketika pihak keselamatan negara memerangi pencerobohan Tanduo pada Mac 2013, mereka juga lari bertempiaran dengan meninggalkan hutang-hutang tertunggak.

“Ini telah mencemarkan intergriti AIM di negeri Sabah dan menyebabkan pengurusan Mikro Kredit di Sabah pada masa kini ditarik ke Putrajaya.

“Sedangkan itu bukan masalah Sabah tetapi lebih kepada masalah salah guna kuasa,” katanya dalam perbahasan di Persidangan Dewan Rakyat di sini, baru-baru ini.

Menjawab kepada persoalan berkenaan, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick memaklumkan pihaknya mengambil serius berhubung perkara tersebut dan akan menjalankan siasatan yang sewajarnya. 

“Pada asasnya pembiayaan agensi kerajaan Malaysia ini tidak boleh diberikan kepada golongan bukan warganegara. 

“Tetapi saya dimaklumkan selepas tahun 2013, sudah tidak ada permohonan baru yang diterima AIM yang melibatkan bukan warganegara ini.

“Pihak KUSKOP akan membuat siasatan, dan hasil siasatan itu nanti akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.

Menurut Ewon, beliau juga belum mempunyai maklumat mengapa pentadbiran pada ketika itu memberi pembiayaan mikro kredit AIM kepada golongan bukan warganegara.

“Tetapi saya berada di sini untuk memberi jaminan kepada Dewan ini dan kepada Yang Berhormat Tuaran untuk saya siasat perkara berkenaan, kerana pembiayaan kepada bukan warganegara sangat serius dan saya melihatnya tidak boleh diterima.

“Ini kerana warganegara kita sendiri masih banyak memerlukan pembiayaan yang sewajarnya,” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN