Mohd Rafi
LABUAN: Jika Pulau Langkawi mendapat peruntukan untuk perkhidmatan Ambulan Laut bagi mempercepatkan penghantaran pesakit ke hospital tanah besar di Kedah, Labuan juga wajar mendapat perkhidmatan yang sama iaitu Ambulan Laut atau Ambulan Udara.
Perkara itu disuarakan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMN0, Datuk Mohd Rafi Ali Hasan ketika berucap merasmikan Persidangan serentak UMNO Bahagian Labuan, pada Ahad Lalu.
Beliau berkata perkhidmatan Ambulan Laut dan Ambulan Udara bukan sahaja wajar tetapi ia juga merupakan satu keperluan rakyat Labuan khususnya kepada pesakit kronik atau kecemasan yang memerlukan rawatan segara untuk dihantar ke hospital di Kota Kinabalu.
Malah perkhidmatan itu juga menjadi lebih penting apabila berlaku kecemasan terhadap pekerja di industri minyak dan gas mahupun mereka yang bekerja profesional di sektor kewangan.
“Labuan juga mempunyai keperluan yang sama seperti Langkawi, malah ia lebih mendesak, sebagai sebuah pulau yang terletak di luar tanah besar dan menjadi pusat industri minyak dan gas negara, akses kepada kemudahan perubatan kecemasan yang pantas amat penting bagi menyelamatkan nyawa” katanya.
Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan menjelaskan, perkhidmatan Ambulan Laut serta Ambulan Udara merupakan satu satunya petkhidmatan pantas bagi manangani jika berlaku situasi kecemasan yang melibatkan kemalangan di pelantar minyak, kapal asing yang berlabuh di pesisir pantai serta pesakit kronik yang memerlukan rawatan segara ke hospital pakar di Kota Kinabalu.
Sebelum ini pesakit yang menghadapi kecemasan tepaksa meredah lautan menaiki feri dan jalanraya yang mengambil masa yang panjang sehingga 4-6 jam sebelum tiba ke hospital di Kota Kinabalu.
Jelas Mohd Rafi, Labuan bukan sahaja sebuah Wilayah Persekutuan, malah merupakan hab kewangan antarabangsa serta pusat industri minyak dan gas yang menyumbang lebih RM1 bilion setahun kepada hasil negara.
Justeru, adalah wajar kemudahan kesihatan kecemasan yang setanding turut disediakan kepada rakyat Labuan.
“Nyawa rakyat Labuan tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Mereka berhak menikmati kemudahan kesihatan kecemasan yang terbaik sebagaimana rakyat di negeri dan wilayah lain”, katanya.
Justeru beliau berharap kerjaan Persekutuan dapat melihat dan menilai akan keperluan yang diharapkan oleh rakyat Labuan.



