KIULU – Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau akan berdepan saingan enam penjuru masing-masing daripada calon Parti Bersatu Sabah (PBS); Liberal Democratic Party (LDP); Parti Cinta Sabah (PCS) dan dua calon Bebas.
Menurut Madius, Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 kali ini merupakan hari bersejarah buat beliau.
“Ini adalah kali pertama saya bertanding sebagai ADUN dan saya telah mengambil langkah ini bagi meneruskan kesinambungan usaha yang telah dirancang oleh kerajaan negeri.
“Saya yakin sekiranya rakyat memberikan peluang dan mandat kepada kerajaan sekarang bagi meneruskan pentadbiran negeri dalam 5 tahun akan datang, pelbagai program pembangunan yang telah kita rancang dapat dilaksanakan,” katanya.
Madius yang juga selaku Caretaker Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata pembangunan secara menyeluruh dan strategik akan menjadi fokus utama beliau untuk kawasan Kiulu.
“Kita ingin pelaksanaan penubuhan pejabat daerah kecil yang sudah diluluskan oleh kerajaan negeri dapat dicapai bagi merealisasikan pelan strategik pembangunan kawasan Kiulu yang kajiannya telah siap dibuat oleh pihak IDS. Kajian ini akan menjadi garis panduan bagi pejabat daerah kecil Kiulu untuk beroperasi kelak.
“Saya juga akan memberikan fokus kepada hal-hal berkaitan pendidikan, ekonomi dan kebudayaan setempat di kawasan Kiulu,” katanya.
Proses penamaan calon di Kiulu berjalan dengan lancar dan berlangsung selama satu jam bermula 9 pagi hingga 10 pagi ini, dengan tiada tempoh bantahan. Madius merupakan calon pertama yang menyerahkan borang pencalonan iaitu pada jam 9.03 pagi tadi.
Seramai 10,887 pengundi layak memilih pada PRN di N.15 Kiulu.
UPKO akan bertanding di 12 kerusi daripada 73 kerusi DUN yang akan bertanding di pilihanraya pada 26 September ini.
UPKO buat pertama kalinya bertanding sebagai rakan kerjasama Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (AMANAH).
SPR menetapkan 26 September sebagai tarikh pengundian manakala pengundian awal pada 22 September ini.
PRN Sabah diadakan susulan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lalu, sehari selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa beliau mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.