Labuan Liberty Port.
LABUAN: Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) akan mengkaji semula aduan berkaitan tarif baharu pelabuhan yang dikenakan oleh pengendali baru Mega Port Management Sdn. Bhd (MPM) Sdn. Bhd yang dilantik oleh LPA.
Pengguna di pelabuhan itu mendakwa tarif baharu yang diperkenalkan oleh syarikat baharu itu lebih tinggi berbanding sebelum ini.
Berikutan dakwaan itu, Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA), Datuk Chin Hon Vui berkata, pihaknya bersedia untuk menjalankan kajian secara menyeluruh dengan menumpukan impak tarif keatas aliran masuk dan keluar kargo menerusi pelabuhan Labuan Liberty Port terutamanya yang membabitkan barangan penting kepada pengguna tempatan.
“Ahli lembaga LPA ada menerima aduan daripada komuniti perniagaan dan pengguna pelabuhan mengenai tarif baharu yang agak tinggi dikenakan oleh pengendali pelabuhan dan kami akan meneliti isu itu untuk menyelesaikannya secara baik,” katanya ketika di temui media di sini, kelmarin.
Chin yang juga Ketua MCA Bahagian Labuan berkata, LPA akan mengadakan pertemuan dengan pengendali pelabuhan dan komuniti perniagaan (melibatkan pengimport, pengeksport dan pengguna pelabuhan) pada 28 Ogos ini bagi membincangkan isu tarif pelabuhan dan lain lain isu yang dibangkitkan.
Sementara itu, Dewan Perniagaan Cina Labuan (LCCC) turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan caj baharu pelabuhan yang diperkenalkan oleh pengendali baharu itu yang didakwanya boleh meningkatkan lagi kos sara hidup.
Presidennya, Datuk Wong Kii Yii berkata kebiasaannya apabila kos barangan import meningkat, syarikat/ejen perkapalan atau peniaga akan menaikan harga barang yang akhirnya pengguna akan menjadi mangsa.
“Perkara ini amat membimbangkan dan kami menggesa pengerusi LPA yang baru dilantik Datuk P Kamalanathan Panchanathan agar dapat menyelesaikan isu ini,” katanya.
Untuk rekod, Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) telah mengambil alih pengurusan dan pengoperasian pelabuhan Labuan Liberty Port pada April lalu untuk tempoh enam tahun. Sebelum ini pelabuhan tersebut telah dikendalikan oleh sebuah syarikat tempatan Labuan Liberty Port Management (LLPM).