Lori yang terbabas lalu terbalik menutupi laluan utama Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah
RANAU: Satu kemalangan melibatkan sebuah motorlori muatan simen telah berlaku di laluan utama KM1 Jalan Ranau-Telupid pada lebih kurang jam 5.10 petang hari Rabu, mengakibatkan kesesakan lalulintas yang teruk di kawasan ini.
Pemantauan media menunjukkan bahawa kenderaan dari arah Kota Kinabalu, Tambunan dan Sandakan tersekat sejauh 5 kilometer selama hampir dua jam tanpa pergerakan ekoran daripada kejadian itu.
Kenderaan lori tersebut dipercayai dipandu laju dan hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan sebelum terbalik di hadapan kuarters lama Jabatan Penerangan Ranau.
Pasukan Trafik IPD Ranau telah dikerahkan ke lokasi bagi mengawal aliran trafik dan menguruskan kenderaan khas bagi kerja-kerja pengalihan kenderaan berat tersebut.
Mujur dalam kejadian itu tiada kenderaan lain terlibat dan pemandu lori tersebut juga tidak mengalami sebarang kecederaan, walaupun muatan simen tertabur di permukaan jalan sementara lori yang terbalik menutup keseluruhan jalan di lokasi berkenaan.
Kejadian itu juga menyebabkan tumpahan minyak enjin di permukaan jalan lokasi kejadian mengakibatkan permukaan jalan di lokasi itu licin dan berisiko tinggi kepada pengguna jalan raya.
Kerja-kerja pembersihan dan pemulihan jalan telah dilakukan oleh pihak yang berkenaan dan ia membantu keadaan aliran trafik kembali lancer secara berperingkat pada sekitar jam 7 malam.
Pihak Polis IPD Ranau menyeru supaya semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan berhemah semasa memandu.
“Pastikan kenderaan berat diselenggara secara berkala. Elakkan memandu dalam keadaan letih atau cuaca buruk. Sentiasa patuhi had laju dan kawalan kenderaan di laluan berbukit atau berselekoh.
“Patuhi arahan kawalselia Trafik. Patuh kepada had laju yang ditetapkan, terutama di kawasan sekolah dan zon tumpuan awam. Elakkan memandu dalam keadaan mengantuk atau di bawah pengaruh alkohol.
“Gunakan tali pinggang keledar dan topi keledar setiap masa. Jangan guna telefon bimbit semasa memandu, dan sentiasa beri laluan kepada kenderaan kecemasan,” jelas nasihat yang dikeluarkan PDRM Ranau.
Tambahnya, pihak PDRM IPD Ranau sentiasa menjalankan pemantauan dan operasi trafik secara berkala dan tindakan akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang jalan raya.
“Ingatlah, sikap berhemah di jalan raya menyelamatkan nyawa. Jadilah pengguna jalan raya yang bertanggungjawab. Sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan ke IPD Ranau di Talian 088-875222,” jelas kenyataan tersebut.



