LANGGAR TIANG…Lori 3 tan melanggar tiang elektrik selepas merempuh beberapa buah kenderaan dekat Petron Ranau pada Sabtu
RANAU: 16 mangsa terlibat apabila sekurang-kurangnya empat kenderaan dirempuh sebuah lori kargo yang hilang kawalan sebelum melanggar tiang lektrik dekat sini pada Sabtu.
Ketua Balai BBP Ranau, PPgB Ridwan Bin Mohd Taib berkata, kejadian berlaku di hadapan Stesen Minyak Petron Ranau pada jam 12.29 tengah hari.
“Panggilan diterima melalui Talian Balai mengenai kejadian ini dan sekumpulan enam anggota diketuai Pegawai Operasi, PBK II Becket Gumat digegaskan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi kejadian 1 kilometer dari balai, kami mendapati telah berlaku kemalangan membabitkan beberapa kenderaan iaitu lori 3 tan yang membawa muatan barangan runcit, Perodua Bezza, bas persiaran dan beberapa lagi.
“Terdapat 16 mangsa terlibat. Seorang mangsa, pemandu lori berusia 61 tahun, tersepit dan berjaya ditarik keluar oleh orang awam. Dia mengalami kecederaan manakala 15 lagi mangsa dilaporkan selamat,” katanya.
Antara kenderaan yang terlibat kemalangan
Menurut Ridwan, Bomba bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera dan kemudiannya diserahkan kepada anggota Jabatan Kesihatan dan dibawa ke Hospital menggunakan Ambulans untuk rawatan lanjut.
Tambahnya, selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi itu, operasi ditamatkan pada jam 12.53 tengah hari.
Sementara itu, beliau menyeru semua pemandu supaya lebih berhati-hati ketika memandu merentasi daerah ini terutama pada waktu puncak yang banyak kenderaan berada di jalan raya.