Masidi memotong reben sebagai gimik perasmikan loji itu di sini, hari ini
RANAU: Daerah Ranau hari ini melakar detik penting apabila Loji Rawatan Air Baharu Mamut di Lohan siap dibina dan mula beroperasi, sekali gus memberi kelegaan kepada ribuan penduduk yang sebelum ini berdepan masalah gangguan bekalan air berulang.
Menteri Kewangan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, projek bernilai RM63.8 juta itu melambangkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam menyediakan kemudahan asas berkualiti kepada rakyat.
“Sejak gempa bumi yang melanda Ranau pada 2015, dua loji sedia ada iaitu Loji Bambangan dan Loji Kimolohing sering terjejas terutama ketika musim tengkujuh akibat kekeruhan air, pasir serta kelodak
“Keadaan itu menyebabkan muka sauk tersumbat hingga operasi loji tergendala,” katanya ketika merasmikan loji itu di sini, hari ini.
Menurut Masidi, Loji Lohan mampu menyalurkan bekalan air ke Tangki Bambangan serta membekalkan air ke Pekan Ranau dan kawasan sekitarnya ketika berlaku keperluan mendesak.
Antara kawasan yang mendapat manfaat termasuk Jalan Sandakan, Kampung Muruk, Kampung Luanti, Kampung Kobu, Kampung Nalapak, Jalan Lohan, Kampung Lohan Ulu, Kampung Lohan 1 dan 2, Kampung Randagong Baru, Kampung Bongkud, Kampung Narawang, Kampung Lutut, Kampung Waluhu, Kampung Kinaratuan serta Kompleks Sukan Ranau.
“Loji ini juga boleh menjadi sumber bekalan utama bagi jajaran paip Loji Kimolohing dan Bambangan sekiranya berlaku gangguan operasi di kedua-dua loji tersebut,” katanya.
Masidi turut merakamkan penghargaan kepada kontraktor projek, Prestimaju Sdn Bhd yang berjaya menyiapkan loji tersebut tiga bulan lebih awal daripada jadual asal iaitu pada penghujung Ogos 2025, berbanding tarikh siap asal 30 November 2025.
Katanya, pencapaian itu membuktikan semangat kerja berpasukan, komitmen dan disiplin dapat menjayakan sesuatu projek lebih cemerlang daripada jangkaan.
“Loji ini bukan sekadar sebuah bangunan dengan peralatan moden, tetapi simbol komitmen kerajaan negeri memastikan rakyat Sabah menikmati bekalan air bersih, stabil dan berterusan
“Infrastruktur asas sentiasa menjadi agenda utama kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan pembangunan mampan,” katanya.
Tambahnya, bekalan air mencukupi bukan sahaja memberi manfaat kepada isi rumah, tetapi turut menyokong pertumbuhan sektor ekonomi seperti pelancongan, pertanian dan perusahaan kecil, khususnya di Ranau yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi.
Masidi menzahirkan terima kasih kepada Jabatan Air Sabah, kontraktor, jabatan dan agensi kerajaan serta swasta yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan.



