PENGHARGAAN……..Tinus (tiga kiri) menyampaikan cenderahati kepada Jonathan
Oleh: Salwah Aramat
RANAU: Pertandingan Sukan Rakyat yang berlangsung meriah di Padang Pekan Ranau baru-baru ini berjaya menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana penuh muhibah serta semangat kesukanan.
Program yang mendapat sambutan hangat itu menyaksikan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat seawal pagi, sama ada untuk menyertai mahupun menyaksikan acara-acara yang dipertandingkan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin, yang turut meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk. Beliau juga menyempurnakan pelepasan Jelajah Skuad Dua Roda sebagai simbolik pembukaan program, yang disambut penuh keterujaan oleh para hadirin.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan terhadap penganjuran program berkenaan yang dilihat mampu mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, sukan rakyat bertemakan “Kaamatan Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian” bukan sahaja menghidupkan semula permainan tradisional, malah menjadi platform penting dalam memupuk semangat kerjasama, toleransi dan perpaduan komuniti.
“Program seperti ini wajar diteruskan sebagai acara tahunan bagi memastikan warisan budaya terus dipelihara dan dihargai oleh generasi muda,” katanya.
Sepanjang program, pelbagai acara menarik dipertandingkan termasuk kupas pinang dan kelapa yang menguji kepantasan serta kemahiran peserta, sekali gus mencuit perhatian penonton apabila peserta berlumba-lumba menunjukkan kecekapan masing-masing.
Pertandingan tarik tali turut menjadi tumpuan utama dengan penyertaan beberapa kumpulan yang mempamerkan semangat berpasukan tinggi, diiringi sorakan gemuruh penonton yang menambahkan lagi kemeriahan suasana.
Selain itu, acara melastik dan monopuk menguji ketepatan serta fokus peserta, manakala pertandingan milokud, rampanau, melukis dan sukaneka berjaya menarik minat golongan muda untuk mencuba permainan tradisional yang semakin jarang dimainkan.
Penganjuran program ini juga dilihat sebagai usaha menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat di samping mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah. Kehadiran keluarga bersama anak-anak turut memeriahkan lagi suasana sepanjang acara berlangsung.
Secara keseluruhan, pertandingan ini mencapai objektifnya dalam menyatukan komuniti setempat melalui aktiviti santai dan menyeronokkan, sekali gus diharap dapat diteruskan sebagai tradisi tahunan di daerah ini.



