SERAH…. Adam (kiri) menyerahkan bekalan ikan segar kepada Ansharey (kanan sekali) sebelum diserahkan kepada PKRC di Unit Detetik dan Sajian Hospital Labuan.
Oleh: Jainudin Djimin
LABUAN: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Wilayah Persekutuan Labuan menyumbang sebanyak 300 ikan segar untuk keperluan Pusat Kuarantin Rawatan COVID 19 (PKRC) yang diwujudkan di pulau bebas cukai ini.
Menurut Timbalan Pengarah LKIM Wilayah Persekutuan Labuan, Adam Rezqual Ramlie, pihaknya telah bersetuju untuk menyumbangkan ikan segar sebanyak 300 kilogram (kg) untuk tempoh 10 hari bermula 31 Mei 2021.
“Setiap hari kita akan bekalkan 30 kg ikan segar untuk kegunaan PKRC dan bekalan akan dihantar sebanyak 60 kg setiap dua hari kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk keperluan PKRC” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan tersebut kepada Pengarah JKM Labuan, Ansharey Matarsad di Unit Detetik dan Sajian Hospital Labuan, pagi ini.
Selain itu katanya, Kelab Sukan dan Kebajikan LKIM juga turut menyerahkan sumbangan 20 kotak air minuman dan kit kebersihan untuk keperluan petugas PKRC.
Sementara itu, Ansharey yang mewakili JPBD mengucapkan terima kasih kepada LKIM Labuan kerana turut membantu meringakan beban PKRC dan juga JBPD dalam mendapatkan bahan mentah yang diperlukan.
“JKM melalui JBPD amat mengalu-alukan kepada mana mana agensi ataupun syarikat korporat untuk menyumbang barangan terutamanya bahan mentah untuk membantu pesakit COVID 19 yang menerima rawatan di PKRC” katanya.
Ansharey turut dimaklumkan pihak Lembaga Pertubuhan Peladang Labuan juga bersedia untuk menyumbangkan beberapa jenis sayur untuk keperluan PKRC.
“Kita juga baharu dimaklumkan pihak Lembaga Pertubuhan Peladang di sini akan menyumbangkan sejumlah sayur kepada PKRC pada petang ini” katanya.
Untuk rekod Wilayah Persekutuan Labuan ketika ini mempunyai tiga pusat kuarantin membabitkan Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan, Bangunan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) dan Hospital Labuan yang menempatkan lebih 300 pesakit COVID 19 yang menerima rawatan dan kuarantin di pusat berkenaan.