SIMBOLIK…. Rithuan (duduk) menunjukkan flyers yang mempaparkan acara-acara yang dipertandingan sepanjang LISC 2023.
LABUAN: Labuan International Sea Challenge (LISC) kali ke 25 yang bakal bermula pada Selasa ini menawarkan hadiah keseluruhan RM240,000 untuk dibawa pulang oleh peserta luar negara dan juga tempatan.
Seramai 1,000 peserta telahpun mengesahkan untuk mengambil bahagian yang menampilkan 15 acara dan tiga daripadanya adalah acara yang berimpak tinggi dengan penglibatan peserta daripada luar negara seperti Kanada, Perancis, Hongkong, Australia dan Brunei.
LISC 2023 yang dianjurkan oleh Perbadanan Labuan dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta akan diadakan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan bermula 9 Mei hingga 14 Mei.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Haji Rithuan Mohd Ismail, tiga acara yang sangat-sangat dinantikan oleh warga Labuan dan juga pengunjung luar itu ialah Pertandingan Memancing Laut Dalam (Daiwa Deep Sea Chaleenge 2023) yang disertai 213 peserta luar neegara.
Katanya, dua lagi acara utama itu ialah Cabaran Renang Merentas Labuan (Labuan Cross Swimming Challenge) dan Cabaran Kayak Mengeliling Pulau (Labuan Round Island Kayak).
‘Bagi acara Cabaran Memancing Laut Dalam akan bermula esok (Selasa) ini dan acara perlepasannya akan diadakan di Jeti Marina Awam.
“Pihak penganjur telah menyediakan sebanyak 21 bot untuk membawa 213 pemancing ke persekitaran laut dalam yang mengambil masa perjalanan hampir 15 hingga ke 18 jam” katanya pada sidang media di sini, pada Ahad.
Beliau berkata, 12 lagi acara lain yang turut diadakan sepanjang LISC 2023 ialah pertandingan memancing pesisir pantai, pertandingan mencadat sotong, pertandingan BMEX Semi Pro Edition 2023, pertandingan karaoke, pertandingan TikTok most creative challenge LISC 2023 dan pertandingan bot laju.
Selain itu penganjur juga menyediakan pertandingan sukaneka pantai, Kejohanan Bola Tampar Pantai, Pertadingan Beach Rugby, LISC Run 2023 dan Kejohanan Petanque Pantai LISC 2023.
Rithuan turut menjangkakan LISC 2023 yang menampilkan beberapa acara baharu akan dikunjungi hampir 20,000 pengunjung dari luar dan dalam negara.
“Perbadanan Labuan mengalu-alukan kedatangan warga Labuan dan sekitarnya bagi memeriahkan lagi acara LISC 2023 selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Labuan sebagai salah satu pusat SportTourism” katanya.