Datuk Limus Jury
KOTA KINABALU :Bekas Naib Presiden Upko, Datuk Limus Jury menyifatkan Presiden Upko sebagai seorang pemimpin yang hikpokrit dan hanya mementingkan diri sendiri.
Katanya, beliau (Madius) tidak memperdulikan Ahli-ahli Dewan Undangan (Adun) parti itu sebaliknya cuma mengutamakan konco-konconya dan pemimpin Upko yang lain.
“Beliau hanya sibuk mengangkat kaki Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal untuk kepentingannya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Limus yang menjadi Adun Bebas berikutan keputusannya untuk keluar parti meluahkan kekecewaan atas layanan diberikan terhadapnya walaupun beliau merupakan salah seorang pemimpin kanan dalam parti.
Menurut beliau, apa yang ada pada dirinya sepanjang beliau menjadi Adun, tiada sebarang jawatan lantikan politik atau badan berkaitan kerajaan (GLC) diberikan kepada beliau , sungguh pun begitu beliau sentiasa memenuhi kehendak parti dan kerajaan.
“Majoriti jawatan-jawatan tersebut telah dibolot oleh pemimpin Warisan,” katanya.
Bagaimanapun jelas beliau, ketiadaan sebarang jawatan tidak menghalang untuk beliau terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasannya.
“Dengan kudrat yang ada, saya berkhidmat semampu mungkin untuk membantu rakyat terutama yang sangat memerlukan di Kuala Penyu,” ujar beliau.
Limus juga mendakwa beliau dan rakannya Adun Sugut, Datuk James Ratib bukan “melompat” tetapi hanya keluar dari parti Upko dengan melepaskan keahlian dan semua jawatan dalam parti.
Mengenai dengan tuduhan Ketua Penerangan dan Multimedia Warisan, Datuk Dr Yusof Yakob bahawa beliau dan James memberi sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana syarikatnya telah mendapat kontrak projek Lebuh raya Pan Borneo bernilai RM385 juta, Limus menjelaskan, projek itu dibuat atas tender dan syarikat Perwira Progresif Construction, sebuah syarikat Bumiputera yang berwibawa bersama-sama berpuluh syarikat bukan Bumiputera yang lain menyertai ternder tersebut.
Katanya, syarikat itu diwujudkan sebelum beliau menjadi wakil rakyat lagi dan mempunyai kelayakan serta kemampuan melaksanakan projek-projek yang diamanah dengan jayanya.
Beliau juga bertanya kepada Dr. Yusof, adakah pemimpin Warisan termasuk menteri-menterinya tidak pernah melobi seberang projek kerajaan.
“Saya tanya beliau kerana ada di antara mereka telah menemui saya untuk berbincang soal projek,” tegas Limus sambil mengecam keras tuduhan Dr Yusuf yang juga Adun Warisan Sinduman .
Akhir-akhir ini, Dr Yusof dan seorang lagi pemimpin Warisan, Junz Wong menjadi jurucakap parti tersebut manakala Presidennya, Datuk Mohd. Shafie Apdal berdiam diri tanpa sebarang ulasan.