ADVERTISEMENTspot_img

Lima pasangan kembar warnai Karnival Ko-Akademik SK Nunuk Ragang

Antara pasangan kembar yang turut mengambil bahagian dalam Pertandingan Nyanyian Duo Kembar.

RANAU: Karnival Ko-Akademik Sekolah Kebangsaan (SK) Nunuk Ragang 2026 membuka tirainya hari ini dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan yang memberi ruang kepada murid menyerlahkan bakat, kreativiti serta potensi masing-masing di luar bilik darjah.

Penganjuran karnival itu bukan sahaja bertujuan mencungkil kebolehan murid dalam bidang ko-akademik, malah menjadi platform untuk membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi, semangat kerjasama dan daya saing secara sihat.

Menariknya, karnival tahun ini menampilkan Pertandingan Nyanyian Duo Kembar, yang diperkenalkan khusus bagi meraikan keunikan SK Nunuk Ragang yang mempunyai lima pasangan murid kembar.

MENARIK PERHATIAN…Lima pasangan kembar

Pertandingan berkenaan memberi peluang kepada setiap pasangan kembar bergandingan di atas pentas untuk mempamerkan bakat nyanyian, keserasian, keyakinan serta kreativiti dalam persembahan.

Guru Besar SK Nunuk Ragang, Rohany Husny, berkata karnival berkenaan bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya sebahagian daripada usaha sekolah melahirkan murid yang berkembang secara holistik dan seimbang.

“Kecemerlangan murid tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik di dalam bilik darjah. Kita mahu setiap anak diberikan ruang untuk meneroka kebolehan, membina keyakinan dan mengembangkan potensi mereka.

“Malah, keunikan murid juga boleh kita raikan sebagai satu kekuatan. Pertandingan Nyanyian Duo Kembar adalah antara usaha sekolah untuk menjadikan Karnival Ko-Akademik tahun ini lebih inklusif, kreatif dan mempunyai identitinya yang tersendiri,” katanya.

Beliau berkata kehadiran lima pasangan kembar dalam sebuah komuniti sekolah rendah merupakan keunikan yang wajar diraikan, selain memberi nilai tambah kepada penganjuran karnival.

JALUR GEMILANG..Sebahagian murid memakai baju corak Jalur Gemilang bersama guru yang menjayakan karnival itu

Menurutnya, pendekatan itu membuktikan bahawa setiap murid mempunyai keistimewaan tersendiri yang boleh diterjemahkan menjadi peluang untuk mereka menyerlah dan membina keyakinan.

Karnival berkenaan turut mengetengahkan pelbagai aktiviti dan pertandingan ko-akademik yang dirangka bagi menggalakkan pembelajaran secara aktif, kreatif dan berpusatkan murid.

Penglibatan aktif guru dan murid sepanjang hari pertama karnival turut mencerminkan semangat kebersamaan serta kerjasama warga sekolah dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif dan menyeronokkan.

Penganjuran Karnival Ko-Akademik SK Nunuk Ragang 2026 diharap dapat terus mencungkil bakat serta potensi murid, di samping memberikan pengalaman pembelajaran bermakna yang mampu membina keberanian dan keyakinan mereka untuk melangkah lebih jauh pada masa hadapan.

Karnival itu turut membawa tema “Beradab dan Berilmu”, selaras dengan aspirasi sekolah untuk melangkah bersama, menyerlahkan potensi dan membina generasi masa hadapan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN