Rina (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada Rosmawati (kiri).
KOTA KINABALU : Akademi Kepimpinan Wanita Sabah (AKWan) memacu pembangunan modal insan wanita yang bakal menyumbang dalam membina masa depan Sabah yang lebih mampan.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, AKWan membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam menyediakan platform pembangunan kepimpinan wanita yang sistematik, inklusif dan berimpak tinggi.
“AKWan merupakan komitmen Kerajaan Negeri melalui Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) bagi melahirkan barisan pelapis pemimpin wanita yang berilmu, berintegriti dan berdaya saing.
“AKWan bukan sahaja memberi pengetahuan, malah membentuk jati diri, keyakinan, nilai kepimpinan dan kemampuan membuat keputusan secara berkesan.
“Pembangunan negeri tidak akan mencapai potensi sepenuhnya tanpa penglibatan wanita dalam proses membuat keputusan.
“Oleh itu, wanita kini bukan sahaja berperanan dalam pembangunan sosial dan institusi kekeluargaan, malah turut membuktikan keupayaan sebagai pemimpin organisasi, usahawan, profesional, pentadbir, ahli akademik dan pemimpin masyarakat,” katanya pada Majlis Graduasi Kursus Kepimpinan Wanita Sabah, Ketiga Tahun 2025, di sini, pada Sabtu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Zainal.
Julita berkata, AKWan memberi tumpuan kepada empat kategori kepimpinan utama iaitu Pemimpin Akar Umbi, Pemimpin Muda, Pemimpin Politik dan Pemimpin Government Linked Companies (GLC).
“Sejak pelaksanaannya, AKWan telah melibatkan 272 peserta bagi Tahap Asas, 123 peserta Tahap Pertengahan dan 84 peserta Tahap Lanjutan.
“Pencapaian itu menunjukkan sambutan yang memberangsangkan serta keyakinan masyarakat terhadap keberkesanan AKWan sebagai institusi pembangunan kepimpinan wanita di Sabah.
“Peserta turut didedahkan dengan pelbagai modul termasuk perspektif gender dalam kepimpinan, pembangunan kendiri, integriti, komunikasi berkesan, kepimpinan organisasi, pemikiran kritis, pengurusan konflik dan jaringan strategik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Julita berharap graduan tidak berhenti setakat menerima sijil, sebaliknya menggunakan ilmu, pengalaman dan kemahiran yang diperoleh untuk memimpin organisasi, menyumbang kepada komuniti serta menjadi pencetus perubahan dalam bidang masing-masing.
“Negeri Sabah memerlukan lebih ramai wanita yang berani tampil ke hadapan, membawa idea baharu dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang,” jelasnya.
Majlis berkenaan turut menyaksikan seramai 75 graduan menerima sijil masing – masing.
Hadir sama, Setiausaha Tetap, Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Maria Chong, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Datuk Dr. Rosmawati Lasuki dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, Haslina Ismail./Penerangan–



