ADVERTISEMENTspot_img

Lelaki miliki dadah dan dipercayai menyamar sebagai polis ditahan di Ranau

Oleh: Mirlen Axtius

RANAU: Seorang lelaki memiliki dadah dan dipercayai menyamar sebagai anggota polis kemudian membuat penipuan terhadap seorang mangsa telah di tahan pada petang Khamis di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima laporan pada Jumaat lepas dari seorang wanita berkaitan penipuan penyamaran sebagai pegawai polis melalui panggilan telefon.

“Makcik kepada mangsa telah menerima panggilan telefon dari individu tersebut dan menawarkan untuk menyelesaikan siasatan dengan tujuan membebaskan individu dalam tahanan pihak polis bersabit kes narkotik.

“Suspek telah meminta mangsa memindahkan wang akaun ke suspek sebanyak dua kali, di mana transaksi pertama melibatkan jumlah RM,1000 manakala kedua berjumlah RM500 dan mangsa yang terpedaya mengalami kerugian sebanyak RM1,500,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Mursalin, hasil siasatan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) yang diketuai oleh Inspektor Mohd Zulhilmi Khairuddin telah menahan seorang lelaki disyaki terlibat dengan kes tersebut pada jam 1.30 petang Khamis.

“Suspek didapati mempunyai 10 rekod kesalahan lampau yang melibatkan lapan kes berkaitan narkotik dan dua kes kesalahan jenayah.

“Semasa suspek ditangkap, turut dirampas bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 5.60 gram dan ujian saringan air kencing suspek didapati positif dadah,” jelasnya.

Siasatan kini dijalankan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu dan memperdayakan yang melibatkan penipuan atau tipu daya dalam mendapatkan harta atau barangan milik orang lain.

Kesalahan ini boleh didenda penjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun, denda dan sebatan.

“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 170 kerana menyamar sebagai penjawat awam (hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali), Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (denda tidak lebih dua tahun dan sebatan).

“Juga di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (denda tidak lebih daripada RM5,000 dan penjara tidak lebih dari dua tahun,” ujarnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN