Anggota Bomba dan polis ketika memberikan bantuan kepada mangsa dalam kejadian itu.
LABUAN: Seorang lelaki meninggal dunia dilaporkan lemas semasa melakukan aktiviti memukat ikan bersama abang dan rakannya ketika laut bergelora di pantai Kampung Pohon Batu pada malam Rabu lalu.
Mangsa yang meninggal dunia itu dikenali sebagai Zain Edin,50, manakala dua lagi yang lain masing masing dikenali sebagai Untung Jurung, 53 dan abang mangsa Isa Edi, 53 terselamat dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 11.10 malam itu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labuan, Abdul Rahman Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.10 malam dan Balai Bomba Layangan telah dikerahkan ke tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi pasukan penyelamat mendapati dua mangsa telah tidak sedarkan diri manakala seorang lagi tidak memberikan respon” , katanya dalam satu kenyataan di sini.
Jelas Abdul Rahman, seorang mangsa, Zain Edin telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian, manakala dua lagi telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
Turut berada di tempat kejadian ialah pasukan PDRM dari IPD Labuan.



