ROSAK… Keadaan kereta Perodua Viva yang mengalami kerosakan teruk selepas bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Pesisir Membedai, pagi Khamis.
LABUAN: Seorang lelaki warga Filipina maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Pesisir Pantai Membedai dekat Kampung Negalang di sini, pagi Khamis.
Mangsa, Rogelio Morta Jr Rogelio, 42 pemeggang kad IMM13 mengalami kecederaan teruk akibat tersepit ditempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh pegawai kesihatan.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, pemandu Pacuan Empat Roda, Nooratira Matrih, 29, yang sedang mengandung 16 minggu hanya mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital Nukleus Labuan.
Menurut satu kenyataan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan, mangsa yang memandu Perodua Viva dalam perjalanan dari Jalan Membedai menuju ke Tanjung Aru bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan di jalan Kampung Negalang.
Sementara itu, pihak polis masih menyiasat mengenai punca kemalangan dan memohon kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu sebelum itu, mayat mangsa yang tersepit dalam kereta yang dipandunya telah dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat (JBPM).
Anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa dari dalam kereta tersebut.