Mangsa yang ditemui terbaring tidak sedarkan diri di halaman rumah
PENAMPANG: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun yang meninggal dunia di hadapan sebuah rumah di Kampung Nosoob Baru di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton, berkata pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.15 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan garaj rumah berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan awal di lokasi kejadian tidak menemui sebarang kesan pergelutan, pecah masuk atau unsur jenayah, selain tiada kecederaan luaran mencurigakan dikesan pada tubuh mangsa.
Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (Sudden Death Report, SDR) sementara menunggu keputusan rasmi laporan bedah siasat,” katanya.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat serta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian berkenaan.



