OLEH: ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas dadah jenis syabu seberat 1.0 gram bernilai RM300 menerusi Sekatan Jalan Raya Ops Covid-19 yang dijalankan di Kilometer 19 Jalan Ranau – Tamparuli dekat Kundasang pagi Kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan (DSP) Sammy Newton, dalam kenyataannya hari ini berkata, suspek lelaki berumur 30 an itu ditahan sepasukan anggota Polis dengan bantuan RELA selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan semasa melalui sekatan jalan raya kira-kira pukul 6.30 pagi pada Rabu.

“Pemeriksaan ke atas suspek telah menemukan satu beg kecil berzip warna hitam mengandungi dua (2) peket plastik lutsinar yang berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis Syabu anggaran berat kasar 1.0 gram.
“Ujian saringan air kencing ke atas suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
“Selain itu saspek juga didapati ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa sekarang, dimana semasa kejadian suspek berada di kawasan yang tidak sepatutnya. Suspek juga merupakan individu kedua di daerah ini yang telah ditahan kerana ingkar PKP,” jelasnya.

Katanya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau untuk tindakan lanjut dan Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dibawah Peraturan 11(1) Peraturan2 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah didalam kawasan Tempatan Jangkitan) (no.2) 2020.
Menurut DSP Sammy, suspek turut memiliki rekod jenayah lampau iaitu pernah didakwa dibawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan dadah dan pada masa yang sama memohon kepada semua masyarakat Ranau khasnya agar mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan agar sama-sama dapat membendung penularan jangkitan Covid 19. –TAMAT–



