24 C
Kota Kinabalu
Sabtu, November 9, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Lelaki dilaporkan hilang sejak Isnin lalu ditemui lemas

Anggota Polis, Bomba, RELA, APM dan orang kampung kelihatan mengangkat mayat mangsa dari lokasi penemuan pada Rabu.

RANAU: Lelaki tempatan yang dilaporkan hilang di kawasan hutan berhampiran Kampung Kimolohing, di sini sejak Isnin lalu  ditemukan  meninggal dunia di Sungai Liwagu, pada Rabu.

Mangsa Fred Yasin, 42, ditemukan lemas oleh pasukan penyelamat dan orang kampung  kira-kira 11.30 pagi, 300 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau berhubung kehilangan mangsa.

Katanya, sejurus menerima panggilan, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), di sini menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

DSP Simiun (kiri) dan Ridwan (kanan)

“Pasukan penyelamat bersama orang kampung telah menemui mangsa di sungai iaitu kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa mula-mula dilaporkan hilang.

“Mangsa telah dikeluarkan daripada sungai dan disahkan meninggal dunia. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 1 petang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau telah menerima laporan Orang Hilang (OH) daripada seorang pengadu yang juga adik kepada mangsa pada 12 Disember, jam 4.29 petang.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Polis (DSP) Simiun Lomudin, ketika dihubungi media berkata, pengadu tampil membuat laporan kerana khuatir keselamatan mangsa yang tidak pulang ke rumah sejak Isnin, 11 Disember.

Pasukan mencari dan menyelamat terdiri Polis, Bomba, APM dan RELA dengan dibantu orang kampung.

“Pengadu yang ketika itu berada di salah sebuah kedai komputer di pekan Ranau, telah menerima panggilan telefon daripada abang iparnya kira-kira jam1.30 petang mengatakan bahawa Fred (mangsa) tiada di rumah.

“Sejurus menerima panggilan, pengadu bergegas pulang untuk mencari abangnya di tempat biasa, di bawah jambatan gantung sungai Liwagu, dekat Kg.Kimolohing, namun mangsa  tiada di kawasan itu.

“Pengadu juga telah bertanya kepada saudara mara dan penduduk kampung  namun mereka tidak tahu keberadaan mangsa,” kata DSP Simiun.

Beliau berkata, pengadu memberitahu bahawa abangnya  (mangsa) yang belum berkahwin dan tidak bekerja  itu sering berhalusinasi selain masih mendapatkan rawatan di hospital akibat kurang sodium (tiroid) dan rawatan jantung.

Mayat mangsa dihantar ke hospital Ranau untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, Polis telah melakukan siasatan awal di tempat kejadian termasuk merakam percakapan saksi iaitu abang ipar kepada pengadu.

“Seterusnya operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan melibatkan pegawai dan anggota IPD Ranau, JBPM, APM, RELA dan penduduk Kampung Kimolohing, pada jam 9 pagi.

“Mangsa akhirnya dijumpai di sungai Liwagu dalam keadaan mengiring dan tangan mangsa tersepit di celah-celah batu. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian” jelasnya.

Tambah DSP Simiun lagi, semasa mangsa dijumpai, air sungai dalam keadaan cetek dan cuaca tidak hujan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN