LEE (kiri) bersama piala yang dimenangi
KOTA KINABALU: Pemain Kelab Golf Sibu, Lee Ka Tung, muncul juara Kejohanan Terbuka Senior Sabah Golf and Country Club (SGCC) ke-10 selepas mengungguli saingan yang berlangsung di padang kelab berkenaan dari 30 September hingga 1 Oktober lalu.
Lee merekodkan 75 pukulan untuk menamatkan saingan di kedudukan teratas, manakala Cho Ha Jin dari Sutera Harbour Golf & Country Club menduduki tempat kedua dengan 81 pukulan menerusi kaedah countback selepas terikat dengan pemain tuan rumah, Mitchell Graham Steel.
Kejohanan kali ini menarik penyertaan 137 pemain daripada pelbagai kelab golf dan mempertandingkan empat kategori nett selain kategori super senior.
Dalam saingan kategori nett, Neezam Tinggal Abdullah muncul pemenang Kategori A dengan 73 pukulan, manakala Clement Liew Yun Kong mengungguli Kategori B dengan 66 pukulan.
Kenny Wong Wee Kiat pula menguasai Kategori C selepas mencatat 67 pukulan, sementara Herman Anjin menjuarai kategori super senior dengan 69 pukulan.
Turut mencuri perhatian ialah Jumaidi Kastari dari Kudat Golf Club yang memenangi hadiah bullseye pada hari pertama kejohanan selepas melakukan pukulan tepat ke lubang kelima.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Presiden SGCC Ian Yong, dengan turut disaksikan pengerusi kejohanan Willima Chee.



