30 C
Kota Kinabalu
Rabu, April 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Lebih ramai guru prasekolah diperlukan: Sabah buka peluang kepada belia melalui latihan praperkhidmatan

Pelatih Pusat Latihan Persediaan Guru Prasekolah Sabah (Pulapes)


KOTA KINABALU: Sabah kini menawarkan peluang latihan praperkhidmatan kepada belia yang berminat untuk menjadi guru prasekolah, bertujuan memenuhi keperluan mendesak terhadap tenaga pengajar di peringkat pendidikan awal.


Pengerusi Pusat Latihan Persediaan Guru Prasekolah Sabah (Pulapes) Ashley Taupik berkata, dengan jumlah kanak-kanak yang semakin meningkat, terutama di kawasan pedalaman, Sabah memerlukan sekitar 3,000 hingga 5,000 guru prasekolah baru.


“Kekurangan tenaga pengajar ini memberi kesan terhadap kualiti pendidikan awal yang diterima oleh anak-anak, terutamanya di kawasan yang kekurangan akses kepada guru yang berkelayakan,” katanya.


Menurut Ashley, pendidikan prasekolah memainkan peranan penting dalam perkembangan sosial, emosi, dan intelektual kanak-kanak.


Oleh itu, katanya, pengambilan guru yang mencukupi adalah kritikal bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat asas pendidikan yang berkualiti.


“Dalam usaha mengatasi masalah ini, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah melalui program latihan praperkhidmatan menyediakan latihan komprehensif untuk belia, termasuk teknik pengajaran, pengurusan kelas, dan pemahaman mendalam mengenai perkembangan kanak-kanak.


“Program ini dijalankan dengan kerjasama antara jabatan dan institusi latihan terkemuka seperti Pusat Latihan Persediaan Guru Prasekolah Sabah (PULAPES), yang berperanan besar dalam menyediakan tenaga pengajar berkelayakan,” katanya.


Selain itu, Ashley menambah bahawa belia yang bercita-cita menjadi guru prasekolah juga digalakkan untuk mengikuti Kursus Asuhan Permata (KAP), yang memberikan kelayakan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.


“Dengan memiliki sijil KAP, guru prasekolah akan lebih bersedia untuk memberikan pendidikan yang berkualiti kepada generasi muda.


“Program latihan ini bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan yang stabil bagi belia, tetapi turut memberi impak besar kepada pembangunan pendidikan dan sosial di Sabah,” katanya.


Langkah ini, ujar Ashley, diharapkan dapat memastikan lebih ramai kanak-kanak di negeri ini mendapat akses kepada pendidikan awal yang berkualiti, sekali gus memberikan impak positif kepada masa depan mereka.

https://tinyurl.com/borangprapermohonanpulapes

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN