SEMANGAT……..Para peserta Larian Amal menunjukkan semangat jati diri sempena program tersebut.
Oleh: Salwah Aramat
SEMATAN: Lebih 500 peserta menyertai Program Larian Amal Kebajikan anjuran The Jiee Lee Shan She dan Pendidikan Amal yang berlangsung baru-baru ini, sekali gus menyemarakkan budaya hidup sihat selain memperkukuh hubungan dalam kalangan komuniti setempat.
Larian sejauh 10 kilometer itu bermula di Pekan Daerah Kecil Sematan sebelum berakhir di Palm Beach Resort, dengan peserta dari Kuching, Lundu dan Sematan mengambil bahagian dalam suasana meriah.
Program berkenaan bukan sahaja mengetengahkan amalan gaya hidup aktif menerusi aktiviti riadah, malah menjadi platform menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dan kawasan dalam semangat kebersamaan.
Kehadiran peserta dari luar Sematan turut memberi nilai tambah kepada penganjuran program berkenaan apabila aktiviti riadah berkenaan secara tidak langsung memperkenalkan keunikan serta potensi daerah itu sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti.
Laluan larian yang menampilkan persekitaran dan lokasi menarik di Sematan memberi peluang kepada peserta menikmati aktiviti riadah sambil meneroka keindahan kawasan berkenaan.
Penganjuran program secara tahunan itu juga dilihat berpotensi merancakkan aktiviti pelancongan tempatan dengan menjadikan sukan dan riadah sebagai antara tarikan kepada pengunjung dari luar daerah.
Presiden The Jiee Lee Shan She, Lo Sin Li, turut hadir menyaksikan perjalanan program yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat dan peserta dari luar kawasan.
Sambutan lebih 500 peserta mencerminkan minat masyarakat terhadap program riadah yang bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan, malah berperanan sebagai wadah mengeratkan silaturahim dan memperkukuh semangat perpaduan komuniti.
Penganjur berharap program berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan lebih ramai, sekali gus membantu menjadikan Sematan sebagai lokasi pilihan bagi penganjuran aktiviti sukan, riadah dan program komuniti.



