33 C
Kota Kinabalu
Isnin, April 15, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Lebih 300 wanita sertai Program Outreach Santuni Wanita

MARIA (lima dari kanan), Hjh Haslina (tengah) merakam gambar bersama yang lain sempena majlis itu.


RANAU: Seramai 307 orang wanita menyertai Program Outreach Santuni Wanita anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah yang diadakan di Dewan Masyarakat Ranau pada hari Isnin.


Program yang bertemakan “Merakyatkan Perkhidmatan Ke Arah Kesejahteraan Wanita” bertujuan untuk memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan pelbagai pekhidmatan daripada jabatan kerajaan seperti JHEWA serta agensi-agensi yang terlibat di kawasan DUN yang berkenaan.


Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Bin Ratib berkata, program outreach santuni wanita ini merupakan kesinambungan inisiatif baharu projek berimpak tinggi sektor modal insan dan kesejahteraan rakyat.


Ini, katanya, adalah selaras dengan hala tuju KPMKR bagi tahun 2021 hingga 2025 di bawah Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).


“Program ini telah menjadi wadah penyampaian perkhidmatan serta perkongsian ilmu yang sangat efektif dalam usaha JHEWA Sabah khususnya, untuk -memperkasakan golongan wanita serta masyarakat secara amnya agar terus relevan dan menepati keperluan semasa.


“Sebagai manifestasi komitmen kerajaan negeri terhadap kelestarian wanita serta masyarakat di negeri sabah, pada hari ini bersamaan 15 Mei 2023 program outreach santuni wanita telahpun melakar sejarah di mana ia sampai di Daerah Ranau.


“Penglibatan dari tiga kawasan DUN iaitu Kundasang, Karanaan dan Paginatan harus diberi pujian terutamanya pihak UPPM serta pemimpin akar umbi kerana berjaya membawa program yang bermanfaat sebegini kepada masyarakat di sini,” kata beliau.


James yang juga Adun Sugut berkata demikian melalui teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap KPMKR, Maria David sempena majlis perasmian program tersebut.


Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur yang terdiri dari JHEWA, Pejabat Daerah Ranau, UPPM N36 Kundasang, N37 Karanaan dan N38 Paginatan.


Beliau menambah bahawa Program Outreach Santuni Wanita begitu signifikan apabila sepanjang tempoh program berlangsung, JHEWA telah pun menyantuni hampir 2,346 orang di 20 kawasan DUN.


“Saban hari kita melihat di dada akhbar banyak isu berkaitan penceraian, pergaduhan merebut hak penjagaan anak dan pelbagai sentiasa dicanang sebagai tanda kepincangan dalam institusi keluarga di malaysia.


“Justeru, program ini adalah antara usaha kerajaan dalam membendung masalah ini dari terus menyelubungi masyarakat kita sambil bantuan khidmat nasihat perundangan menerusi klinik guaman serta slot literasi perundangan yang telah dijalankan.


“Saya berasa berbesar hati atas inisiatif pihak JHEWA yang telah berkerja keras demi memastikan kelangsungan program kemasyarakatan sebegini baik dalam aspek keusahawanan, pembangunan kewanitaan serta perundangan,” kata beliau.


Sementara itu, Pengarah JHEWA Sabah, Hajah Haslina Ismail berkata, isu utama yang sentiasa dibawa melalui program itu adalah berkenaan isu berkaitan Undang-Undang Keluarga.

“Isu undang-undang keluarga ini merangkumi kes-kes di dalam mahkamah Sivil, mahkamah Syariah, serta Anak Negeri/Adat. Isu seterusnya yang kami bawakan pada program ini ialah isu berkenaan perkahwinan awal kanak-kanak.

“Pada outreach kali ini juga kami datang bukan berseorangan tetapi turut membawa rakan strategik bersama iaitu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan agensi lain seperti KWSP, JPSM, AKPK, KKM dan LPPKN,” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN