Gambar: PRODUK SABAH…. Sebahagian produk IKS Sabah yang dipasarkan di pasaraya Fasarina Express Mart Labuan.
LABUAN: Lebih 30 jenis pelbagai jenama produk yang dihasilkan oleh usahawan IKS Sabah kini boleh didapati di pasaraya Fasarina Express Mart Labuan.
Usaha itu adalah hasil daripada jalinan kerjasama Dewan Perniagaan Usahawan Sabah (DPUSabah) dengan Fasarina Express Mart yang turut didukong oleh Kementerian Perindustrian Sabah.
Menurut satu kenyataan DPUSabah kepada BDB di sini, usaha kerjasama itu antara lain bertujuan untuk membantu usahawan IKS Sabah memperluaskan pasaran produk mereka ke Wilayah Persekutuan Labuan melalui pasaraya Fasarina Express Mart yang terletak di Lazenda Warehouse Jalan Patau-Patau.
Selain itu ia juga sebagai salah satu usaha meningkatkan prestasi perniagaan Usahawan IKS Negeri Sabah keluara negara.
Justeru itu, DPUSabah mengalu-alukan warga Labuan untuk mendapatkan produk IKS Sabah di pasaraya Fasarina Express Mart yang menawarkan harga yang berpatutan.
Untuk rekod pada 13 Mei 2022 yang lalu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk DR. Joachim Gunsalam bersama rombongan DPUSabah telah berkunjung dan melawat pasaraya Fasarina Express Mart untuk melihat sendiri lokasi yang dipilih bagi memasarkan produak IKS Sabah di Labuan.