Simsudin (tengah) memukul gong simbolik perasmian Sambutan berganda Tahun Baharu Cina dan Hari Wilayah Persekutuan ke 51.
LABUAN: Lebih 2,000 warga Labuan pelbagai peringkat umur meraikan Sambutan Tahun Baharu Cina dan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke 51 yang diadakan di Dataran Labuan, pada Jumaat.
Program anjuran Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan dengan kerjasama Dewan Perniagaan Tionghua Labuan (LCCC), Perbadanan Labuan dan Persatuan Tokong Tokong Labuan itu dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan Tionghua Labuan, Datuk Robert Seah, Pengerusi Dewan Perniagaan India Labuan, Datuk Dhalip Singh, Pengerusi Dewan Perniagaan Islam Malaysia, Labuan, Datuk Wira Dr Ramli Tahir dan Pengerusi MPP Zon Labuan, S. Rosli Ahmad.
Terdahulu Simsudin ketika berucap pada majlis itu berkata, kepelbagaian budaya dan sambutan perayaan serta rakyatnyà yang saling hormat mengormati antara satu sama lain menjadi tunjang keharmonian serta semangat perpaduan yang jitu dalam negara ini khususnya di Labuan.

Warga Labuan yang hadir memeriahkan susana Sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Wilayah Persekutuan.
“Keharmonian serta semangat perpaduan yang terjalin erat membuktikan warga Labuan sentiasa menyokong dasar kerajaan Malaysia MADANI dan selari dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim” katanya.
Dalam pada itu, Simsudin berharap sambutan berganda ini bukan sahaja dapat meningkatkan keharmonian pelbagai kaum, tetapi juga meningkatkan ekonomi Labuan secara keseluruhannya.
Pelbagai pengisian telah diadakan termasuk persembahan tarian singa oleh tujuh buah tokong, persembahan artis tempatan dan diakhiri dengan persembahan bunga api menjelang jam 12 tengah malam.