Oleh: MARRYAN RAZAN
KOTA KINABALU: Lebih 1,000 orang terdiri daripada warga kerja Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah dan pejabat-pejabat daerah seluruh Sabah menghadiri seterusnya memeriahkan Sambutan Krismas dan Tahun Baru kementerian itu, di Putera Ballroom Bukit Padang, pada malam Jumaat.
Majlis anjuran Kelab Rekreasi dan Kebajikan KPLB Sabah dirasmikan menterinya Datuk Ewon Benedick.

Ewon ketika berucap.
Turut hadir dua Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Rasinin Koutis dan Hj.Dumi Pg.Masdal, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Timbalan Setiausaha Tetap Aftar Nurajat, pegawai-pegawai daerah, pegawai-pegawai kanan dan warga kerja KPLB Sabah.
Ketika berucap Ewon berkata, majlis sambutan keagamaan seumpama itu yang julung kalinya diadakan adalah usaha Kelab Rekreasi dan Kebajikan KPLB Sabah dan akan diteruskan pada masa akan datang untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan kerjasama antara warga kementerian dan pejabat-pejabat daerah seluruh Sabah.

“Majlis sambutan keagamaan ini telahpun kita mulakan pada tahun lepas seperti Majlis Berbuka Puasa bersama anak-anak yatim, Hari Raya Puasa di Pekampungan Mini Estate Sejahtera (Mesej) dan Hari Raya Korban di Kampung Sejahtera.
“Ini merupakan hasrat saya selaku menteri KPLB Sabah untuk mewujudkan budaya positif dan mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan pegawai dan kakitangan kementerian melalui sambutan seperti ini.
“Semangat kekeluargaan yang wujud di kalangan warga kerja kementerian bersama kakitangan pejabat-pejabat daerah seluruh Sabah dapat membentuk satu budaya kerja positif untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini,” katanya.

Ewon berkata, sambutan perayaan seumpama itu akan diteruskan dan selepas ini kementerian akan mengadakan sambutan Tahun Baru Cina sebagai penghargaan kepada amalan saling hormat menghormati semua sambutan kebudayaan dan keagamaan yang disambut pelbagai kaum dan agama warga kementerian.

Pada majlis itu pelbagai acara menarik disusun termasuk persembahan nyanyian artis-artis undangan termasuk Rosario Bianis, persembahan karaoke, cabutan tiket bertuah dan pakaian terbaik.-TAMAT-




