Pasukan Keningau FA merakamkan kenangan sebelum perlawanan bermula
Oleh: Rizalmi Liman
KENINGAU: Lebih 10,000 penonton membanjiri Kompleks Sukan Keningau bagi menyaksikan perlawanan persahabatan antara pasukan Sabah FC dengan Keningau FA.
Perlawanan berkenaan membawa kepada kemenangan besar kepada Sabah FC dengan keputusan 10-2 ke atas Keningau FA, yang mana jaringan daripada pasukan Sabah FC dijaringkan oleh Azhad Harraz dengan dua jaringan, Darren Lok (dua jaringan), Ramon Machado (dua jaringan), dan masing-masing satu jaringan daripada Harith Naem, Telmo Castanheira, Jafri Chew dan Saddil Ramdani.
Manakala dua jaringan daripada Keningau FA dijaringkan oleh Jufrey Omopor dan Oliver Jhonny.
Pengurus Sabah FC, Rafie Robert berkata, perlawanan ini merupakan jelajah bertemu peminat dengan harapan para peminat daripada Pedalaman Atas dapat turut bersama-sama memberi sokongan kepada Sabah FC di Stadium Likas pada setiap kali perlawanan khususnya pada Liga Super 2024 – 2025 yang akan bermula pada 9 Mei depan.
Pasukan Sabah FC merakamkan kenangan sebelum perlawanan bermula
Selain itu katanya, sebagai persediaan dalam masa terdekat ini, Sabah FC juga akan menyertai kejohanan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dijadualkan bermula pada 29 April ini.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, beliau akan fokus kepada pengukuhan pasukan yang ada ketika ini dan tidak akan mencari pemain baharu atau melakukan sebarang pertukaran untuk menghadapi Liga Super.
“Buat masa ini kita tidak memikirkan untuk menandatangani sebarang pemain lagi kecuali yang baru kita tandatangani Harris Stamboulidis, selebih daripada itu kita tidak akan membuat apa-apa pertukaran,” jelasnya.
Mereka berkata demikian ketika ditemui media di Kompleks Sukan Keningau, pada Selasa.
Perlawanan pertama Sabah FC pada Liga Super kali ini akan menentang pasukan Penang FC yang akan berlangsung pada 12 Mei depan di Stadium Likas, Kota Kinabalu