GAMBAR KENANGAN..Hajah Fatimah (tengah ) dan Flovia (ketiga kiri) bergambar bersama di Wisma Wanita, baru-baru ini.
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, telah mengadakan lawatan penandaarasan ke Jabatan Hal-Ehwal Wanita (JHEWA) di Wisma Wanita, di sini, baru-baru ini.
Delegasi kementerian itu diketuai sendiri menterinya, Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah.
Ketibaan Hajah Fatimah dan rombongan di Wisma Wanita, disambut mesra Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng, bersama warga jabatan.
Flovia ketika dihubungi media memberitahu, antara tujuan lawatan penandaarasan itu adalah bagi memupuk jalinan kerjasama dengan jabatan serta kementerian di Negeri Sabah dalam usaha berterusan bagi pembangunan wanita dan keluarga di Sarawak.

CENDERAMATA..Flovia (kiri) menyampaikan cendermata kepada Hajah Fatimah, ketika delegasi diraikan dalam satu majlis makan malam, di sini.
Beliau berkata, delegasi juga diberi taklimat berkenaan fungsi keseluruhan dan peranan JHEWA khususnya Pusat Bantuan Guaman Wanita (PBGW), Program Pemerkasaan Wanita, Gender Equity dan Kepimpinan Wanita.
“Kita juga memberitahu mereka fungsi dan peranan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), yang antara lainnya untuk menggalakkan, memudahkan, dan meningkatkan penyertaan wanita dalam pembangunan sosio-ekonomi di negeri Sabah
“MPWS berperanan sebagai penyelaras, badan penasihat, dan perunding kepada kerajaan negeri dalam hal-hal berkaitan isu wanita,” katanya.
Flovia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.44 Tulid, berkata lawatan itu juga sudah pastinya akan menambah pengetahuan mereka berkaitan program, perkhidmatan dan bantuan yang ditawarkan oleh JHEWA kepada rakyat Sabah bagi pembangunan wanita secara keseluruhannya.
“Mewakili Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat dan Jabatan Hal-Ehwal Wanita, saya amat mengalu-alukan lawatan ini. Terima kasih Dato sri Hajah Fatimah dan rombongan
“Sudah pastinya kami juga akan merancang untuk lawatan balas ke Bumi Kenyalang dalam masa terdekat,” kata Flova.
Terdahulu, Hajah Fatimah dan rombongan telah diraikan dalam satu majlis makan malam di sekitar Kota Kinabalu yang dihoskan Datuk Flovia sendiri.