Hyginus (duduk empat dari kiri) bersama peserta bengkel
LABUAN: Persatuan Penyelidikan, Inovasi, dan Kreativiti Labuan (Labuan Research, Innovation and Creativity Society – LaRIS) menganjurkan Bengkel Fasilitator Penghasilan, Pembangunan, dan Penilaian Inovasi di Palm Beach Resort & Spa Labuan, baru baru ini.
Bengkel tersebut meliputi 11 sesi termasuk amalan baik dan amalan terbaik, definisi dan takrifan inovasi, jenis-jenis inovasi, pengenalan kepada Design Thinking, penjanaan idea dan kreativiti, penelitian kriteria dan rubrik, penilaian inovasi, simulasi penilaian, cabaran inovasi, dan peranan fasilitator. Keseluruhan bengkel telah disampaikan oleh Pengerusi LaRIS, Dr. Hyginus Lester Junior Lee.
Menurut Dr. Hyginus bengkel tersebut bertujuan membantu peserta mendalami ilmu inovasi dan membezakannya dengan kajian tindakan dan amalan terbaik dalam pembelajaran dan pengajaran.
Di samping itu katanya, bengkel ini juga memberi fokus kepada penjanaan idea dan proses dalam membangunkan inovasi produk, kaedah, sistem, dan perkhidmatan.

Hyginus (Kanan) menyerahkan sijil peserta terbaik kepada Nurulhuda Mohd Derus
Seramai 17 peserta dari Labuan dan Sabah menyertai bengkel sehari itu.
Sementara itu peserta bengkel Dari Sabah, Desmond Sandum berkata, bengkel ini sangat bermanfaat kerana mendedahkan peserta kepada kriteria pemarkahan dalam pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa dan pada masa yang sama memperkenalkan petua-petua dalam penghasilan inovasi secara sistematik dan berperingkat. Menurutnya lagi, simulasi penilaian pertandingan sebenar memberi pengalaman sebagai hakim pertandingan inovasi.
Peserta terbaik bengkel dinobatkan kepada Nurulhuda Mohd Derus dari SK Pekan Dua Wilayah Persekutuan Labuan dan peserta harapan kepada Nor Amin Lawisau dari Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, Sabah.