26 C
Kota Kinabalu
Ahad, Februari 16, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Langgar SOP Covid- 19, PDRM akan mengambil tindakan tegas

.KENANGAN……Timbalan Menteri Dalam Negeri II Malaysia, Datuk Jonathan Yasin bersama DSP Simiun Lomudin, Ketua Polis Daerah Ranau dan para Pegawai Kanan IPD Ranau mengabadikan gambar kenangan.

RANAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Ranau akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 bagi mempastikan seluruh masyarakat di daerah ini terus terhindar daripada penyakit tersebut.

Menegaskan perkara itu, Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin berkata, saban hari kes positif Covid-19 menunjukkan peningkatan membabitkan beberapa klaster dan turut menjangkiti pelajar sekolah.

Justeru katanya, pihak Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Ranau akan terus memperhebatkan penguatkuasaan dibawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mempastikan kesihatan rakyat terjamin dan tidak menggangu rutin kehidupan harian mereka.

“Pihak PDRM IPD Ranau tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya melanggar SOP yang telah ditetapkan. Saya yakin masyarakat benar-benar telah memahami segala peraturan yang digariskan dibawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988”. Jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Lawatan Rasmi Timbalan Menteri Dalam Negeri II Malaysia, Datuk Jonathan Yasin ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Daerah Ranau pada Isnin.

Dalam pada itu, Simiun turut menasihatkan kepada masyarakat yang bakal merayakan perayaan Tahun Baru Cina agar terus mematuhi sepenuhnya SOP yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan untuk mempastikan tidak berlaku sebarang jangkitan Covid-19 sepanjang perayaan tersebut.

Jelasnya, walaupun beberapa kelonggaran telah ditetapkan, namun semua pihak perlu bertanggungjawab dan tidak leka walaupun dalam suasana bergembira bersama kaum keluarga.

Selain itu, beliau turut menegaskan tentang pematuhan keselamatan jalan raya khasnya memberi peringatan kepada pemandu agar tidak memandu kenderaan dalam keadaan dipengaruhi alkohol bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya, pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah yang melanggar peraturan jalan raya khususnya mereka yang memandu dalam keadaan mabuk dibawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 Pindaan 2020 manakala memandu melulu sehingga menyebabkan kemalangan maut boleh diambil tindakan dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

“Semua pengguna jalan raya diingatkan sentiasa berhati-hati ketika memandu khasnya ketika musim perayaan ini. Elakkan kecuaian sehingga boleh berlaku sebarang insiden kemalangan dan jangan sama sekali memandu ketika dipengaruhi alkohol”. Tegasnya.

Beliau menambah, pihaknya turut mengalu-alukan kerjasama daripada semua pihak untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai salah laku jenayah yang berlaku di daerah ini termasuk pelanggaran SOP agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN