28 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Februari 14, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Laksanakan slogan Sabah for Sabahan: John Jinitoh

John Jinitoh seru laksanakan slogan Sabah for Sabahan


TAMPARULI: Slogan ‘Sabah For Sabahan’ adalah laungan yang tepat untuk Sabah jika mahu mencontohi Sarawak, kata Ketua Bahagian STARSABAH N14.Tamparuli, John Jinitoh.


“Apabila rakyat Sabah serta netizen mengatakan ‘alangkah bagusnya jika Sabah jadi seperti Sarawak’, ini menunjukkan bahawa begitulah aspirasi rakyat Sabah ketika ini.


“Pada perhimpunan agung STARSABAH pada 22hb Jun yang lepas, Presiden STARSABAH, YB DSP Dr. Jeffery Kitingan jelas mengatakan supaya biar parti-parti Malaya fokus di Malaya dan biar parti-parti tempatan Sabah jaga rumahnya sendiri,” katanya.


Menurut John, gesaan tersebut adalah kesan dari kegagalan BN Umno memerintah Sabah selama 30 tahun di Sabah.


“Semasa BN Umno memerintah Sabah, Sabah bukan bertambah maju tetapi semakin miskin. Oleh itu BN Umno tidak lagi layak jadi pemerintah di Sabah. BN Umno harus ditolak sepenuhnya oleh rakyat Sabah,” katanya.


Tambah beliau, slogan Sabah For Sabahan bukan membenci orang-orang Malaya, “Tetapi kami mahu menolak 100% penguasaan parti Malaya ke atas Sabah.


“Jika Sarawak ada GPS, kita juga ada GRS di Sabah. Kita sudah ada landasan yang tepat, dan Sabahan hanya perlu mengangkat aspirasi ini untuk menjadi seperti kerajaan Sarawak,” katanya.


Tambah John lagi, ini jelas terbukti di Sarawak yang dikuasai sepenuhnya oleh parti-parti tempatan di mana daripada 82 jumlah kerusi DUN, Parti GPS dan PSB menguasai 80 buah kerusi dan hanya 2 kerusi PH.


Ini, ujar beliau, telah membawa kepada satu pemerintahan yang sangat kukuh oleh Kerajaan Sarawak.


“Mereka boleh menggubal undang-undang baru demi melindungi hak-hak Sarawak dengan mudah.


“Dan kekuatan politik parti-parti tempatan di Sarawak telah membawa Sarawak kepada sebuah kerajaan yang stabil dan mempunyai pendapatan tertinggi di Malaysia sejak tahun 2022,” katanya.


Sementara itu, John berkata beliau juga menyokong penuh kenyataan Ketua Wiramuda Tamparuli yang juga Setiausaha Wiramuda Pusat Jess Joel Moriga baru baru ini yang mengatakan bahawa Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar meludah ke mukanya sendiri.


“Mengikut fakta sebenar tidak dinafikan BN Umno adalah parti yang paling lama memerintah Sabah iaitu hampir 30 tahun.


“Tetapi ketika itu juga Sabah sering menerima anugerah sebagai negeri yang termiskin di Malaysia. Sila rujuk statistik data penganalisis ekonomi 2016-2019,” katanya.


Walaubagaimanapun, John berkata, apa yang menyedihkan dari pihak Cybertrooper BN ialah menyerang latar belakang peribadi Jess Joel apabila tidak dapat menyangkal kebenaran kenyataan Jess Joel.


“Memang betul Jess Joel pernah berkecimpung dalam muzik. Tetapi adakah pekerjaan sebagai seorang pemuzik jalanan itu begitu hina di mata anda?
“Penghinaan kepada pemuzik jalanan adalah keterlaluan. Saya secara peribadi sangat meminati persembahan pemuzik jalanan (Busking).


“Mereka mempunyai bakat yang tidak ada pada orang lain dan mereka mencari rezeki secara halal. Kenapa merendah rendahkan penglibatan Jess Joel sebagai pemuzik sebelum ini.


“Apakah latar belakang pemimpin anda Bung Moktar sebelum jadi orang politik? Biar anda cari jawapannya sendiri, tetapi sekurang-kurangnya bagi saya Jess Joel Moriga lebih layak berkecimpung dalam dunia politik kerana beliau adalah lulusan Diploma Sains Politik,” tegas beliau.


Menurut John lagi, kelihatan BN Umno di Sabah semakin terdesak meraih sokongan di Sabah sehingga menggunakan gambar PMX dalam banner mereka tetapi PMX ternyata tidak hadir.


“Oleh itu sekali lagi saya nyatakan dengan tegas bahawa para pemimpin Sabah harus sedar akan aspirasi rakyat di Sabah sekarang adalah mahu menjadi seperti Sarawak, di mana Sarawak sebelum ini begitu tegas Melaungkan Slogan Sarawak For Sarawakian.


“Sehingga kini parti lokal Sarawak telah memenangi PRN selama dua penggal berturut-turut dengan begitu bergaya dan kesannya adalah Sarawak bebas menentukan halatuju politik dan ekonomi mereka sendiri,” katanya.


John turut menggesa agar seluruh Rakyat Sabah menolak 100% campurtangan Parti Malaya di Sabah pada PRN yang akan datang.


“Kita juga harus menolak mana-mana parti tempatan yang menumpang populariti parti Malaya.
“Konon mengaku parti tempatan tapi bila pilihanraya guna nama parti Malaya untuk meraih sokongan.

Sudah tiba masanya Rakyat Sabah sendiri yang menentukan hala tuju dan autonomi sendiri di Sabah,” jelas beliau.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN