SUMBANGAN….Sophian (kiri) menerima sumbangan daripada Dul (lima dari kanan bersama pemain LAVESTAR dan Labuan Port.
LABUAN: Persatuan Bola Sepak Labuan (LAFA) menerima sumbangan daripada pasukan Bola Sepak Veteran Labuan (LAVESTA) bagi membantu tabung Junaidi Tuah yang mengalami penyakit misteri sejak beberapa bulan yang lalu.
Sumbangan tersebut diserahkan oleh Pengurus LAVESTA Dul Alias kepada Presiden LAFA Sophian Said sejurus tamat perlawanan bola sepak amal antara pasukan LAVESTA bertemu Labuan Port yang diadakan baru baru ini.
Dalam perlawanan persahabatan amal itu, pasukan LAVESTA menewaskan pasukan Labuan Port dengan jaringan 5-1.
Sementara itu, Dul Alias berkata sumbangan tersebut adalah hasil kutipan perlawanan oleh kedua-dua pasukan LAVESTA dan Labuan Port bagi membantu Tabung Junaidi Tuah.
Dul berharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban Junaidi yang masih memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak termasuk rakan-rakan dan peminat bola sepak untuk menampung kos rawatan pemulihan termasuk perubatan alternatif.

ZIARAH… Sophian (dua kanan) bersama Teo Boon Hock (kiri sekali), Hendry (tiga kiri) dan Majin (tiga dari kanan) ketika menziarahi Junaidi (kanan sekali).
Sebelum ini Junaidi Tuah yang juga bekas pemain bola sepak Sabah era 80 dan 90an telah menerima sumbangan daripada LAFA yang disampaikan oleh Presidennya Sophian Said hasil kutipan daripada beberapa siri perlawanan persahabatan LAFA.
Sumbangan itu diserahkan kepada Junaidi sempena kunjungan Ziarah LAFA ke kediaman Junaidi di Kampung Bukit Kuda, baru-baru ini.
Turut sama bersama Sophian menziarahi Junaidi ialah bekas pemain bola sepak Sabah era 80 dan 90an, Teo Boon Hock, Henry Anjun dan Majin Bisayu.
Dalam pada itu, Sophian memohon kepada rakan-rakan khususnya yang mengenali Junaidi untuk membantu beliau dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban kewangan kos rawatan dan perubatan beliau.
Katanya sumbangan itu boleh disalurkan ke akuan Maybank 166125380404 (Junaidi Tuah).



