25.5 C
Kota Kinabalu
Ahad, Januari 19, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Labuan tidak terpinggir terima faedah Pakej Rangsangan Prihatin

Antara inisiatif yang bakal diterima adalah pengecualian sewa bagi penghuni di perumahan awam milik Perbadanan Labuan (PL) selama enam bulan

-Annuar Musa-

Oleh: JD

LABUAN: Rakyat Wilayah Persekutuan Labuan boleh menarik nafas lega apabila tidak terkecuali untuk menerima faedah tambahan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyuddin Yassin baru-baru ini.

Berita baik yang dinanti oleh warga Labuan itu telahpun diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (gambar) dalam sidang akhbar khas selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatan Kuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKN WP) di Putrajaya petang kelmarin.

Beliau berkata antara inisiatif yang bakal diterima adalah pengecualian sewa bagi penghuni di perumahan awam milik Perbadanan Labuan (PL) selama enam bulan bermula Mac hingga Ogos yang melibatkan 546 keluarga dengan kos keseluruhan RM933,210 iaitu bayaran sewa rumah bermula RM150 hingga RM650 sebulan mengikut kategori.

“Selain itu, seramai 774 penjaja dan peniaga kecil berlesen termasuk peniaga Pasar Sentral Labuan di UTC, pasar malam, pasar tani, medan selera dan lot-lot kedai milik Perbadanan Labuan turut dikecualikan bayaran sewa atau berniaga secara percuma untuk tempoh yang sama dengan kos keseluruhan adalah lebih RM1 juta.

Jelasnya lagi, seramai 1,300 penjaja dan peniaga kecil juga akan menerima bantuan sara hidup sebanyak RM500 secara ‘one-off’ membabitkan peruntukan keseluruhan RM650,000.

Selain itu katanya kerajaan juga akan menyediakan 600 kit bantuan makanan, kebajikan dan kesihatan yang berjumlah RM50,000 untuk diagihkan kepada warga Labuan yang terkesan COVID 19 seperti nelayan, petani, pengusaha bagang, pengusaha bubu, dan penternak.

“Pada masa yang sama Kementerian Wilayah melalui Perbadanan Labuan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan juga akan menyediakan sebanyak 1,200 kit bantuan sebagai tambahan untuk membantu golongan sasar” katanya.

Menurut Annuar, bantuan lain yang diberikan khusus untuk warga Labuan ialah pembelian mesin bantuan pernafasan kepada Hospital Labuan untuk kegunaan pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta penyediaan Pusat Kuarantin Tambahan di Institut Latihan Perindustrian Labuan bagi menempatkan pesakit dan individu dalam siasatan (PUI).

Annuar telah memaklumkan sehingga hari ini Labuan mempunyai 10 pesakit positif COVID-19 dan dua daripadanya telah pun pulih. –TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN