STATUS…. Status Covid 19 kebangsaan dan Labuan yang dikeluarkan oleh CPRC.
LABUAN: Harapan warga Labuan untuk melihat Labuan bebas dari Covid 19 akhirnya tercapai apabila Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) merekodkan tiada tambahan kes Covid 19 dalam tempoh 14 hari.
Selain itu kesemua pesakit positif Covid 19 yang menerima rawatan di hospital Labuan telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan keluar. Kes terakhir yang dibenarkan keluar ialah pada Jumaat.

Pengarah Pengurusan Bencana Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman berkata, pencapaian itu adalah hasil kerjasama semua petugas barisan hadapan khususnya Jabatan Kesihatan dan warga Labuan yang sentiasa mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kita amat bersyukur ke hadrat Alah kerana semalam (Jumaat) Labuan telah mencatatkan sifar Kes Covid 19 sekaligus kejayaan itu telah menjadikan Labuan salah satu zon hijau Covid 19 di negara ini” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas ditemui pada Program Penghantaran Pelajar Kolej Matrikulasi Labuan (KML) pulang ke Limbang dan Lawas Sarawak di Terminal Feri Penumpang Antarabangsa Labuan, pada Sabtu.
Walaupun Labuan telah diisytiharkan sebagai zon hijau Covid 19, namun Dr Fary menasihatkan warga Labuan supaya terus mematuhi arahan kerajaan termasuk melakukan penjarakan sosial 1 meter daripada orang lain, tidak bersalaman, sentiasa menjaga kebersihan dengan kerap mencuci tangan menggunakan air sabun dan seterusnya segera ke klinik sekiranya mempunyai gejala batuk, selesma atau demam.
Sebelum ini Wilayah Persekutuan Labuan yang mempunyai kepadatan penduduk mencecah100, 000 orang merekodkan 16 kes kumalatif yang membabitkan 10 kes daripada Kluster Jemaah Tabligh di Seri Petaling dan enam kes lagi dari Kluster import seorang individu yang balik dari Kuala Lumpur. TAMAT