GEOPARK…hutan pantai Tanjung Kubong
LABUAN: Geotapark Labuan telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang baharu sekaligus menjadikan Geotapark berkenaan satu lagi produk pelancongan yang bakal menarik pengunjung ke Labuan.
Selain Labuan turut mendapat pengiktirafan yang sama ialah Geopark Lenggong di Perak.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan media kelmarin berkata, pengiktirafan Labuan dan Lenggong sebagai Geopark Kebangsaan telah dibuat pada 16 Disember 2021 semasa Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan Bilangan 1 Tahun 2021.

GEOPARK…endapan dan batuan di Tanjung Batu
Geopark Kebangsaan Labuan yang berkeluasan 402 kilometer persegi mempaparkan evolusi endapan batuan dan landskap yang membentuk Pulau Labuan serta tapak-tapak biologi.
Antaranya hutan paya bakau (Kinabenuwa), hutan pantai (Tanjung Kubong), santuari hidupan liar (Pulau Ular) dan taman laut (Pulau Rusukan Besar, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Kuraman) yang menjadi habitat kepada spesies-spesies burung (Layang-layang, Bangau Batu, Burung Kosa dan Kelicap Sepah).
Manakala kepelbagaian warisan budaya pula boleh dilihat pada masyarakat yang mendiami perkampungan air.
Sementara itu katanya, Geopark Kebangsaan Lenggong berkeluasan 2,068 kilometer persegi kaya dengan keunikan landskap batuan, warisan biologi (8 biotapak) dan budaya (19 tapak budaya) serta menyimpan pelbagai sejarah formasi geologi, khasnya yang bertaraf antarabangsa.
Jelas Takiyuddin, pengiktirafan Labuan dan Lenggong sebagai Geopark Kebangsaan adalah satu pencapaiansignifikan kepada negara.