30 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Label ‘katak’ adalah tidak wajar: Amisah

Amisah menerima borang keahlian dari penyokong baharu PGRS Dun Paginatan


RANAU: Tindakan segelintir masyarakat yang melabelkan penghijrahan ahli-ahli daripada parti lain ke satu parti lain sebagai ‘katak’ adalah tidak wajar, jelas Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Paginatan, Datuk Amisah Yassin.


“Sesetengah individu melabelkan ahli-ahli daripada parti lain seperti UMNO dan Warisan yang menjadi ahli PGRS sebagai ‘katak’. Adalah satu kesilapan besar untuk menyamakan tindakan mereka dengan haiwan yang tidak mempunyai fikiran,” katanya.


Ujar beliau lagi, mereka yang menyertai PGRS adalah disebabkan mereka percaya bahawa hijrah yang mereka lakukan itu adalah kerana mahukan sesuatu yang lebih baik.


“Parti-parti yang kita sertai dahulu adalah baik, dan kita berterima kasih atas kesudian pimpinan terdahulu untuk memberi tempat kita bernaung satu masa dahulu.


“Namun begitu, peredaran masa dan keperluan di Negeri Sabah kini memerlukan pimpinan daripada parti politik tempatan yang lebih kukuh,” kata Amisah yang juga merupakan ADUN dilantik.


Tambah beliau lagi, keadaan politik di Sabah berada dalam tahap di mana rakyat memerlukan pembangunan dan mereka sudah bosan dengan corak politik yang ekstrim dengan durasi berpolitik setiap masa.


“Negeri Sabah memerlukan sistem politik yang stabil demi memastikan agenda yang dirancang oleh Kerajaan dapat dilaksanakan tanpa kerisauan risiko kerajaan yang berubah setiap masa,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Penubuhan Parti Gagasan Rakyat Sabah Cawangan Libang yang diadakan dekat sini pada hari Isnin.


Sementara itu, Amisah mengingatkan para ahli Jawatankuasa Penaja Bahagian yang dibentuk tidak lama dahulu perlu bekerja keras bagi memastikan lebih banyak cawangan dengan ahli yang ramai dapat ditubuhkan.


“Selain itu, kekuatan parti dengan ahli yang ramai adalah satu penanda aras bahawa parti itu adalah parti yang memenuhi sentimen dan aspirasi rakyat yang kini mahu Negeri ini dipimpin oleh parti tempatan dengan kombinasi pimpinan Negeri yang disenangi ramai,” katanya.

Amisah bersama para jentera dan penyokong dalam majlis itu


Amisah berkata, dengan kuatnya PGRS di DUN Paginatan, maka kuatlah parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di mana ADUN Paginatan sekarang iaitu Datuk Abidin Madingkir adalah daripada parti komponen GRS iaitu parti STAR.


“Kita berikrar untuk membantu dan menguatkan rakan-rakan kita dalam parti GRS yang terdiri daripada 7 parti komponen dan mengukuhkan parti PGRS adalah sebagai satu caranya,” tegas beliau.


Dalam masa yang sama, Amisah turut menerima penyerahan borang daripada seramai 25 ahli baharu yang diserahkan oleh Jahili Saridi, bertempat di Kg Libang Ranau.


Turut hadir Bendahari Bahagian, Mahali Yusin, Ketua Penerangan Bahagian, Jamian Manan, Ketua Pemuda Bahagian, Al Ayubi Datuk Hj Jirin, Ketua Beliawanis, Iszyan Qitrinada Jamian dan juga ahli-ahli Jawatankuasa Bahagian Paginatan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN