MESRA….Profesor Dr Jualang beramah mesra dengan pelajar UMSKAL yang pulang ke Sabah, kelmarin.
LABUAN: Seramai 131 pelajar Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) yang berasal dari Sabah dihantar pulang menerusi feri kenderaan pada Rabu lalu.
Mereka merupakan pelajar dari kawasan Pitas, Kota Marudu, Kota Kinabalu, Papar, Kudat, Kota Belud, Beaufort dan Sipitang.
Sebanyak tujuh buah bas yang disewa khas dari Kota Kinabalu digunakan untuk membawa pelajar tersebut dari UMSKAL pukul 4.30 pagi sebelum menaiki feri kenderaan pukul 6 pagi.
Sepanjang menuju ke destinasi masing-masing, mereka diiringi pegawai dan kakitangan UMSKAL bagi memastikan keselamatan mereka terjamin sampai ke kampung halaman masing-masing.
Terdahulu pelajar mendengar taklimat daripada Pegawai Sektor Hal Ehwal Pelajar (SHEP) dan Pegawai Polis di Dewan Utama UMSKAL pada pukul 2.30 pagi sebelum menaiki bas yang menunggu mereka di Padang Kawad UMSKAL.
Sementara itu, Pengarah UMSKAL, Profesor Dr Jualang @ Azlan Abdullah Gansau (gambar) menasihatkan pelajar agar sentiasa peka dengan maklumat yang disampaikan dari semasa ke semasa oleh kerajaan khususnya dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan wabak Covid-19.
Pada masa sama, beliau juga mahu pelajar walaupun sudah berada di kampung bersama keluarga supaya sentiasa mendapatkan maklumat daripada pengurusan universiti dan fakulti masing-masing.

PULANG……Pelajar UMSKAL gembira pulang ke kampung halaman masing-masing di Sabah pada Rabu.
“Ikuti perkembangan terkini daripada pihak kerajaan, pengurusan UMS dan fakulti masing-masing sepanjang berada di kampung halaman bersama keluarga.
“Pelajar perlu mematuhi arahan yang ditetapkan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi menangani penularan wabak COVID-19.,”katanya ketika menyampaikan ucapan ringkas kepada pelajar di Dewan Utama UMSKAL.
Menurut beliau, penjagaan kesihatan termasuk menggunakan penutup mulut dan hidung, membersihkan tangan dan penjarakan sosial perlu diamalkan pelajar sepanjang berada di kampung.
Tambah beliau, walaupun berada di kampung, pelajar masih perlu meneruskan pembelajaran dan pengajaran (PdP) sama ada secara dalam talian atau pun di luar talian bersama pensyarah masing-masing.
Dalam pada itu, Profesor Dr Jualang tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu melancarkan operasi penghantaran pulang kumpulan pertama pelajar tersebut ke lapan buah daerah di Sabah./-