ESTHER Dingkawan (tiga dari kanan) bergotong royong memasak bubur lambuk bersama ahli KRT Kampung Rancha-Rancha
LABUAN: Kawasan Rukun Tetatangga (KRT), Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN) Wilayah Persekutuan Labuan mengagihkan 3,400 pek bubur lambuk sempena Program Semarak Perpaduan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan pada Ahad.
Pengarah JPNIN Labuan, Esther Dingkawan berkata, program yang bertemakan ‘Masak-Masak Bubur Lambuk, Ikatan Perpaduan Teerus Dipupuk’ membabitkan 17 Kawasan Rukun Tetangga di sekitar pulau ini.
Katanya, program memasak bubur lambuk telah dilaksanakan secara bergotong royong yang dijalankan di KRT masing-masing seterusnya diagihkan kepada komuniti kawasan terlibat.
“Sebanyak 850 pek bubur lambuk diagihkan kepada Rumah Anak Yatim, Warga Emas, Hospital, Balai Polis dan komuniti Labuan termasuk pengunjung di Bazar Ramadan” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian program tersebut.

Majlis perasmian yang diadakan di Pusat Kawasan Rukun Tetangga, Jalan Batu Arang Kampung Lajau telah disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail.
Sementara itu, Rithuan dalam ucapan perasmiannya memuji usaha JPNIN berjaya melaksanakan program tersebut yang dijalankan secara bergotong royong membabitkan penyertaan semua pihak termasuk komuniti setempat.
“Program sedemikian dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli jawatankuasa RT dan komuniti setempat, selain meningkatkan jaringan kerjasama serta penglibatan masyarakat pelbagai kaum” katanya.
Turut diadakan pada majlis itu, penyampaian sijil penghargaan kepada semua pengerusi KRT yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.



