JAMES (kanan) menerima cenderkenangan disampaikan Dato Dr Kalwinder Singh Khaira, Presiden Malaysia Medical Association
KOTA KINABALU, 1 Ogos 2025 – Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) melalui Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) telah meluluskan sumbangan berjumlah RM27,600 bagi membiayai sewaan premis sementara untuk Hospis Kanak-Kanak.
Menterinya, Datuk James Ratib yang juga Exco Kesihatan juga akan mencadangkan kepada Kabinet (Kerajaan Negeri) untuk menyediakan sebidang tanah kepada kepada MAPPAC untuk tujuan membina bangunan (hospis Kanak-kanak) di sekitar Kota Kinabalu.
“Selain itu, kita juga akan memohon kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyediakan fasiliti kepada hospis tersebut,” kata beliau.
James yang juga Adun Sugut berkata demikian semasa merasmikan Program Pengumpulan Dana SEPEDA Amal Borneo 2025 “Pedal for Care, Ride for Hope” yang diadakan di Hotel Hilton pada hari Jumaat.
Acara berbasikal amal itu bertujuan mengumpul dana bagi penubuhan hospis kanak-kanak pertama Sabah di bawah MAPPAC.
Menurut beliau, pada masa ini hanya Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas yang menawarkan penjagaan paliatif pediatrik, yang menyaksikan peningkatan beransur-ansur dalam beban pesakit sejak beberapa tahun lalu.
Beliau memohon Kementerian Kesihatan Malaysia untuk melihat ke arah meningkatkan perkhidmatan penjagaan paliatif pediatrik dengan melatih lebih ramai doktor dan jururawat untuk peranan ini.
James menekankan kepentingan sokongan kerajaan negeri dalam mewujudkan hospis kanak-kanak pertama di Sabah serta kerjasama dengan agensi lain yang berkaitan untuk mencapai matlamat ini.
“Sebagai Exco Kesihatan Negeri Sabah, saya berpandangan bahawa perkhidmatan paliatif kanak-kanak ini adalah sangat penting dan perlu terus diutamakan dalam suatu sistem kesihatan yang holistic,” katanya.
James menambah, akhbar minggu lalu melaporkan bahawa di Malaysia, terdapat hanya enam doktor pakar paliatif kanak-kanak yang berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan Malaysia di mana dianggarkan terdapat sembilan juta kanak-kanak yang memerlukan perkhidmatan ini.
Di Sabah, katanya, perkhidmatan paliatif kanak-kanak hanya diberikan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Kota Kinabalu.
“Kita melihat bahawa jumlah kanak-kanak di bawah unit paliatif semakin bertambah di mana pada tahun lepas sahaja, lebih 100 kanak-kanak baru dirujuk ke unit paliatif di Likas.
“Kita boleh lihat bahawa kepakaran dalam perkhidmatan ini adalah sangat kurang dan saya berharap KKM akan mengambil perhatian dalam isu dan melatih lebih ramai doktor dalam kepakaran ini dan juga memberikan lebih banyak dana bagi memperkembangkan bidang paliatif kanak-kanak.
“Saya juga ingin memberikan KKM untuk menyediakan insentif lebih kepada doktor-doktor yang berkhidmat di Sabah ini,” katanya.
James yang juga Adun Sugut menambah Sabah menghadapi cabaran yang unik di mana kanak-kanak yang tinggal di kawasan pendalaman mungkin tidak akan mendapat akses kepada perkhidmatan paliatif seperti ini yang hanya terhad kepada kawasan bandar.
Menurut beliau, lazimnya mereka ini juga berasal dari golongan masyarakat yang miskin.
“Oleh sebab itu, saya sangat tertarik dengan visi MAPPAC iaitu untuk menubuhkan sebuah hospis kanak-kanak yang pertama di Sabah.
“Dengan adanya hospis ini, perkhidmatan paliatif boleh diberikan di suatu fasiliti yang lengkap, tanpa mengira latar belakang pesakit. Dengan adanya fasiliti hospis, pesakit tidak perlu berulang ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.
Sebagai Ekso Kesihatan Negeri Sabah, beliau menyokong penuh inisiatif untuk menubuhkan hospis kanak-kanak pertama Sabah dan saya akan berusaha untuk mewujudkan mimpi ini suatu realiti dalam masa terdekat.
“Ini adalah komitmen saya kepada kanak-kanak kita ini yang sangat memerlukan bantuan kita.
“Saya berharap dan menyeru Kerajaan Persekutuan, di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi menubuhkan hospis kanak-kanak ini. Saya mohon pihak KKM menyalurkan dana untuk tujuan ini,” katanya.
Turut hadir, Presiden, Persatuan Perubatan Malaysia Dato Dr Kalwinder Singh Khaira, Presiden Elect, Persatuan Perubatan Malaysia Dr Thirukanavarasu Rajoo, Pengasas Amal Borneo Dr Timothy Cheng Tsin Jien, Timbalan Pengerusi, Persatuan Penjagaan Paliatif Pediatrik Malaysia (MAPPAC) Dr Ng Su Fang, antara lain.
TAMAT



