28 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 8, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

KPLB Sabah Peruntuk RM230,000 Untuk Kampung Sejahtera Sungai Merah

Oleh: Marryan Razan

LAHAD DATU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menyalurkan peruntukan sejumlah RM230,000 untuk membaiki kemudahan infrastruktur di Kampung Sejahtera Kg.Sungai Merah Tungku, di sini.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu RM130,000 untuk bekalan air graviti, pembinaan dua titian konkrit untuk kenderaan (RM70,000) dan selebihnya untuk pembaikan surau kampung itu.

Ewon disambut mesra penduduk kampung pada majlis itu.

“Kita mengambil maklum masalah dan keperluan yang dikemukakan penduduk kampung semasa Bengkel Pelan Pembangunan Kampung Sejahtera dan peruntukan yang saya umumkan itu adalah sebahagian daripada usaha kita menyelesaikan masalah di kampung ini.

“Keperluan lain yang dikemukakan penduduk kampung Sungai Merah termasuk dewan serbaguna, bekalan elektrik, jalan raya, klinik desa, peningkatan ekonomi dan juga isu menganai pendidikan akan diselesaikan secara berperingkat-peringkat.

“Kita tidak dapat menyelesaikan semua keperluan pembangunan yang diperlukan penduduk kampung tetapi program ini merupakan saluran untuk membantu mereka berdasarkan peruntukan yang diberikan kepada Kementerian,” katanya.

Ewon ketika berucap pada majlis itu.

Beliau berkata demikan ketika berucap merasmikan penutupan Bengkel Pelan Pembangunan Kampung Sejahtera Kampung Sungai Merah daerah kecil Tungku, di sini, hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negri (Adun) Lahad Datu Hj.Dumi Pg.Masdal, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekiar yang juga Adun Tungku Assafal Alian, Ketua Penolong Setiausaha KPLB Norsafi Hj.Dukah, Pegawai Daerah Lahad Dr. Mohammad Ayub Yaacob dan Penolong Pegawai Daerah Tungku Firuz Idzualdeen.

Ewon, Dumi dan Assafal bergambar bersama penduduk kampung.

Ewon yang juga Adun Kadamaian berkata, Kampung Sejahtera adalah program di bawah KPLB Sabah bertujuan untuk membangunkan secara berperingkat kemudahan asas dan sosio-ekonomi di kampung-kampung di luar bandar yang terletak jauh dari kawasan pekan.

“Kita berharap melalui program ini, penduduk Kampung Sungai Merah akan menikmati kemudahan asas dan ameniti sosial serta program sosio-ekonomi daripada agensi-agensi kerajaan,” katanya.

Sebahagian daripada penduduk kampung

Kampung Sungai Merah lebih kurang 110KM dari bandar Lahad Datu dipilih sebagai Kampung Sejahtera kerana kampung itu masih berhadapan dengan pelbagai masalah jalan raya dan ketiadaan bekalan air dan elektrik.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku mempunyai 37 buah kampung dan Kampung Sungai Merah adalah antara kampung yang bertuah kerana dipilih sebagai Kampung Sejahtera. —TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN