GAMBAR ATAS: Ewon ketika merasmikan Bengkel Kraftangan Ribu-Ribu di Kampung Timug Matunggong, turut kelihatan Fredian (dua dari kanan).
MATUNGGONG: Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB) Sabah memperuntukkan sejumlah RM150,000 untuk membina tiga Bengkel Keusahawanan Desa (BKD) di kawasan Matunggong bagi meningkatkan sumber pendapatan penduduk setempat terutamanya golongan wanita.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, pembinaan bengkel di bawah Program Satu Daerah Satu Produk itu dimulakan pada November 2019 dan siap sepenuhnya pada Disember tahun yang sama.
Beliau berkata, bengkel keusahawanan itu ialah Bengkel Kraftangan Ribu-Ribu Kampung Timug, Bengkel Menjahit Pakaian Tradisional-Moden Kg Tinangol dan Bengkel Gubahan Manik di Kg.Tuid.
“KPLB Sabah menyediakan sejumlah peruntukan setiap tahun untuk program-program pembasmian kemiskinan dan peningkatan ekonomi penduduk luar bandar termasuk mewujudkan lebih banyak bengkel sebagai pusat pembangunan dan latihan keusahawanan desa.
“Kita berharap melalui program-program ini, usaha kerajaan mengurangkan dan membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat luar bandar dapat dicapai,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja sehari di kawasan Pitas dan Matunggong, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, setiap bengkel keusahawanan desa itu dilengkapi mesin dan peralatan yang diperlukan para peserta.
“Saya berharap para peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan kerajaan untuk meningkatkan sumber pendapatan mereka,” katanya.
Katanya lagi, kementeriannya memperkenalkan pelbagai program baharu bagi mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini.
“Antaranya Program Rumah Sejahtera Rakyat, Program Aktiviti Ekonomi Tambahan, Program Satu Daerah Satu Produk dan Program Bimbingan Usahawan Desa.
“Program Bimbingan Keusahawanan Desa bertujuan memberikan bimbingan, pengetahuan dan latihan kemahiran kepada masyarakat luar bandar supaya mereka dapat memulakan perusahaan atau perniagaan sendiri.
“Manakala Program Satu Daerah Satu Produk pula bertujuan menyediakan kemudahan bengkel, peralatan dan mesin yang berkaitan kepada kelompok peserta di bawah bimbingan kementerian di sesuatu daerah,” katanya.
Dalam lawatan kerja sehari itu, Ewon melawat tiga bengkel keusahawanan desa di Kg.Timug, Kg. Tinangol dan Kg Tuid serta meninjau pusat pembuatan gong di Kampung Sumangkap.
Terdahulu itu beliau meninjau kerja-kerja pembinaan Rumah Sejahtera Rakyat untuk para peserta Mini Estate Sejahtera (Mesej) Tukar Pitas.
Turut serta dalam lawatan itu, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembasmian Kemiskinan KPLb Sabah Charles Dabbie, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Keusahawanan Industri Desa KPLB Sabah Felicia Sindan, Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong Francis Chong dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Matunggong Barlus Mangabis.