30 C
Kota Kinabalu
Selasa, Julai 23, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

KPLB Sabah Perkasakan Perkampungan MESEJ Dengan Kemudahan Pelancongan : Ewon Benedick

Oleh: Marryan Razan

TAMBUNAN: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan terus melipatgandakan usaha bagi memperkasakan perkampungan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) dengan aktiviti dan kemudahan pelancongan.
 

Ewon bersalaman dengan penduduk kampung yang hadir pada majlis itu.


Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, banyak perkampungan Mesej yang boleh diusahakan sebagai pusat pelancongan luar bandar, sekaligus menjana pendapatan tambahan kepada para peserta.
 


“Setakat ini kita mempunyai 52 perkampungan Mesej di seluruh Sabah dan daripada jumlah itu, kita telah memilih dua perkampungan Mesej yang pertama iaitu Mesej Kaingaran, Tambunan dan Mesej Kinolosodon, Papar untuk dibangunkan sebagai pusat tarikan pelancong dengan menyediakan kemudahan berkaitan.

Ewon ketika berucap di majlis itu

“Bagi Mesej Kaingaran, lokasinya sangat strategik kerana terletak di antara pekan Tambunan dengan Gunung Trusmadi. Sebab itu kita telah menyalurkan peruntukan bagi membina sebuah rumah rehat yang dikenali Walai Tundorongon di perkampungan Mesej Kaingaran sebagai salah satu kemudahan penginapan kepada para pelancong di daerah ini khususnya kepada pengunjung gunung Trusmadi,” katanya.
 

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Rumah Rehat Walai Tundorongon Mesej Kaingaran Tambunan, di sini, pada Jumaat.
 

Ewon melawat Rumah Rehat Mesej Kaingaran Tambunan.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, inisiatif mewujudkan pusat pelancongan di kawasan perkampungan Mesej yang sesuai merupakan antara cadangannya untuk menambah sumber pendapatan peserta Mesej berkenaan.
 

“Pada tahun lepas saya telah menyatakan wawasan saya agar perkampungan Mesej Pelancongan dapat diwujudkan samada melalui pembangunan Mesej sedia ada ataupun dengan mengujudkan perkampungan Mesej yang baru.
 

“Hari ini saya melawat dan meninjau sendiri perkampungan Mesej yang menyediakan pelbagai aktiviti dan kemudahan pelancongan di Mesej Kaingaran. Beberapa minggu yang lepas, saya juga telah melawat Mesej Kinolosodon Papar untuk tujuan yang sama dan saya gembira kerana rumah rehat ini siap dibina dan kini boleh digunakan oleh para pengunjung,” katanya.

Beliau berkata: “Saya difahamkan oleh Pegawai Daerah Tambunan bahawa Rumah Rehat ini sudah menerima beberapa tempahan. Kita akan terus menambahbaik kemudahan pelancongan di Mesej Kaingaran dan aktiviti-aktiviti ekonomi lain yang boleh menjana pendapatan para peserta”.
 

Pembinaan rumah rehat penginapan tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM160,000 yang disalurkan oleh KPLB Sabah kepada Pejabat Daerah Tambunan.
 

Selain itu, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) turut memperuntukkan sejumlah RM20,000 bagi membina anjung tinjau yang bersambung dengan rumah rehat tersebut sebagai kemudahan tambahan kepada para pengunjung.
 

“Saya juga berharap aktiviti pelancongan di Mesej Kaingaran dapat diperkasakan sesuai dengan aktiviti utama perladangan getah.
 

“Ada kampung seperti Kg Lobong-Lobong, Kota Belud yang menawarkan pakej belajar menoreh getah kepada para pelancong terutama daripada luar negara dan ia menjadi sangat popular. Saya percaya dengan keadaan cuaca yang sejuk berkabus, bentuk muka bumi dan lokasi strategik, Mesej Kaingaran akan terus melonjak menjadi salah satu tarikan pelancong di Tambunan,” katanya.
 

Ewon berkata, beberapa perkampungan Mesej di daerah-daerah lain dibina di pulau dan pesisir pantai yang dibangunkan untuk perusahaan balat dan rumpai laut.
 

“Tetapi saya merasakan potensi sebenar perkampungan Mesej tersebut adalah pada pantai dan lautnya. Ini yang saya ingin lihat dibangunkan pada tahun hadapan,” katanya.
 

Pada majlis itu, Ewon turut meluluskan peruntukan menaiktaraf ke jalan konkrit menuju ke rumah rehat tersebut dan pembinaan beberapa kolam ikan air tawar di sekitar rumah rehat itu sebagai aktiviti pancing, beli dan masak kepada para pengunjung Mesej Kaingaran.
 

Ewon menyatakan keyakinan bahawa inisiatif tersebut akan berupaya meningkatkan pendapatan para peserta agar dapat keluar daripada garis kemiskinan.
 

Sementara itu, Pegawai Daerah Tambunan, Jumain Abdul Ghani berkata Koperasi Peserta Mesej Kaingaran telah ditubuhkan untuk mengurus rumah rehat tersebut dan juga kedai runcit di perkampungan Mesej itu.
 

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah Anthony Kiob, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tambunan Basal Datuk Bullah dan ketua-ketua jabatan kerajaan di Tambunan-TAMAT-

Ewon menerima cenderakenangan daripada Jumain.

Ends

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN