RANAU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah berharap agar dapat diberikan peruntukan yang lebih besar dalam Belanjawan Negeri Sabah Tahun 2020.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick menyatakan bahawa kementeriannya bertanggungjawab melaksanakan projek kecil pembangunan luar bandar, pembasmian kemiskinan dan keusahawanan desa selain daripada bertanggungjawab ke atas peruntukan khas Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan hal ehwal Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
Justeru, katanya, kementerian memerlukan peruntukan yang lebih besar untuk memenuhi skop dan peranan yang diberikan untuk membasmi kemiskinan dan mensejahterakan luar bandar Sabah.
-Ewon-
“Walaupun saya maklum dengan cabaran ekonomi dan perolehan hasil kita, tetapi saya berharap peruntukan yang lebih besar pada tahun depan dapat disalurkan berbanding peruntukan tahun ini. Ini termasuklah agar peruntukan ADUN juga ditambah agar mereka boleh membawa kemudahan yang lebih baik di kawasan masing-masing.
“Pada tahun ini, kementerian saya menerima peruntukan RM4.5 juta untuk projek kecil pembangunan luar bandar, kemudian tambahan RM7.4 juta dalam perbekalan tambahan. Tetapi secara keseluruhannya, jumlah keseluruhan permohonan yang dikemukakan kepada saya atau kepada Setiausaha Tetap mencecah RM60 juta. Ini menunjukkan banyak keperluan projek kecil pembangunan luar bandar di seluruh Sabah,” kata beliau.
Menurut Ewon, kementeriannya sudah mengemukakan input kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Kementerian Kewangan mengenai keperluan peruntukan untuk inisiatif-inisiatif baru yang mahu dilaksanakan oleh kementeriannya.
“Kita masih berada dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 dan kod-kod baru setiap inisatif ini tidak dapat dimasukkan ke dalam pembikinan belanjawan kementerian.
“Tetapi kita sudahpun mendapat pengesahan boleh melaksanakan beberapa inisiatif baru yang telah kita tetapkan, iaitu menaiktaraf jalan-jalan menuju kawasan pelancongan komuniti luar bandar, program bekalan air alternatif (telaga tiub) dan bekalan elektrik alternatif (mini hidro) menggunakan peruntukan yang akan disalurkan mengikut kod sedia ada terlebih dahulu,” katanya.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian juga berharap agar peruntukan untuk membina Rumah Sejahtera Sabah juga dapat ditambah khusus untuk kampung-kampung di bawah Program Kampung Sejahtera dan perkampungan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) di seluruh Sabah.
“Selepas saya membangkitkan keperluan ini di kabinet, maka ianya telah dipersetujui. Sebab itulah dalam perbekalan tambahan yang dibentangkan pada bulan Ogos lepas, kita telah mendapat peruntukan RM6 juta untuk memulakan program ini. Bagaimanapun, kita mempunyai 60 buah Kampung Sejahtera dan 52 perkampungan MESEJ setakat ini di seluruh Sabah. Jumlah ini pasti akan bertambah. Sebab itu, kita memerlukan peruntukan yang lebih besar untuk menyediakan program bantuan rumah di kampung-kampung ini,” katanya.
Ewon menyatakan demikian semasa ditemui pemberita selepas merasmikan Kursus Pengurusan dan Pentadbiran MPKK bagi kawasan DUN Paginatan di Perkasa Hotel, di sini, pada Rabu.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah ADUN Paginatan Datuk Abidin Madingkir, Setiausaha Rendah (Dasar) KPLB Sabah Majaran Osman, Pegawai Daerah Ranau Mohd Yassin Ibrahim, Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Paginatan Hishamuddin Harun dan PPM Kundasang Siriman Basir dan Ketua-ketua Jabatan.-TAMAT-
