MELAWAT..Ewon melawat rumah salah seorang penduduk Kampung Kolosunan yang perlukan perhatian kerajaan.
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick menyatakan kementeriannya akan menganjurkan Bengkel Pelan Pembangunan Kampung Sejahtera di Kg Kolosunan, Inanam.
“Kampung ini merupakan antara yang dicadangkan untuk dimasukkan di bawah Program Kampung Sejahtera KPLB Sabah. Berdasarkan kunjungan saya di sini, maka saya bersetuju supaya pelan pembangunan diadakan dan sebahagian program pembangunan kampung ini kelak akan dibantu oleh kementerian saya.
“Saya tidak menjangkakan masih ada kampung di daerah bandaraya yang terpencil seperti kampung ini. Apapun, menjadi tanggungjawab Kementerian saya untuk memainkan peranan bagi meningkatkan tahap kesejahteraan kampung terpencil di daerah Kota Kinabalu,” katanya.
Ewon melawat kawasan pelancongan Kampung Kosunan.
Ewon berkata demikian semasa kunjungan singkat ke Kg Kolosunan atas jemputan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) baru-baru ini.
“Memang banyak keperluan pembangunan yang saya dapati melalui kunjungan singkat ini dan ianya akan diperhalusi semasa bengkel pembangunan tersebut kelak.
“Bagaimanapun, pihak kementerian boleh membantu lebih awal keperluan membina sebuah dewan bagi kegunaan penduduk dan pelancong yang datang ke kampung ini kerana ianya berkait rapat dengam aktiviti ekonomi kampung,” katanya.
Dalam kunjungan tersebut, Ewon turut dibawa meninjau keadaan rumah seorang penduduk yang memerlukan program bantuan rumah di bawah kementeriannya.
Beliau turut mengalu-alukan usaha penduduk untuk menjayakan produk pelancongan berasaskan komuniti di kampung tersebut yang telahpun dimulakan dan berjaya menarik minat penggiat riadah pendakian hutan dan bukit.
Ewon bergambar bersama rombongan selepas lawatan itu.
Ewon turut menyampaikan sumbangan RM1,000 sebagai galakan ke atas usaha komuniti Kg Kolosunan tersebut. Sumbangan yang sama juga beliau sampaikan kepada komuniti Kg Babagon Toki yang turut mengusahakan pelancongan berasaskan komuniti.
Terdahulu Ewon yang juga Naib Presiden Upko mengadakan kunjungan ke pejabat bahagian Upko Sepanggar dan mengadakan perjumpaan dengan pimpinan AJK Bahagian sebagai memenuhi tanggungjawab beliau di dalam parti.
Turut sama dalam lawatan tersebut ialah Ketua Bahagian Upko Sepanggar Datuk Wong Thien Fook dan Setiausaha Perhubungan KPLB Sabah Charles Dalansing.