Pegawai Penguatkuasa KPDN Labuan ketika melakukan pemeriksaan SHMMP di salah sebuah pasaraya di Labuan.
LABUAN: Pejabat Kementerian Perdangangan Dalam Negeri (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan melakukan 347 pemeriksaan ke atas premis perniagaan sepanjang lima (5) siri pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi tahun 2025.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata pemeriksaan itu sekali gus mencerminkan komitmen berterusan KPDN Wilayah Persekutuan Labuan dalam memastikan pematuhan perundangan serta melindungi kepentingan pengguna, khususnya semasa musim perayaan.
“Bagi SHMMP Krismas 2025, sebanyak 51 premis perniagaan telah diperiksa sepanjang tempoh pelaksanaannya bermula 23 hingga 27 Disember 2025 yang baru lalu.
“Pemeriksaan tersebut melibatkan pemborong, pasar raya, pasar raya mini, kedai runcit dan pasar awam utama di sekitar Pulau Labuan dan hasil pemeriksaan mendapati tiada tindakan kes dihasilkan sepanjang tempoh kuat kuasa SHMMP”, katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata, keadaan ini menunjukkan tahap pematuhan yang tinggi dalam kalangan peniaga di Labuan terhadap arahan serta perundangan yang dikuatkuasakan, di samping mencerminkan keberkesanan sesi advokasi yang telah dilaksanakan oleh pasukan penguat kuasa sebelum pelaksanaan SHMMP Krismas 2025.
Secara keseluruhan bagi tahun 2025, hanya lima (5) kes telah direkodkan atas kesalahan pelanggaran peraturan yang ditetapkan sepanjang tempoh kuat kuasa SHMMP pada tahun ini.
Sementara itu, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) telah dilaksanakan setiap tahun sejak tahun 2000 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723]. Melalui pelaksanaan Skim ini, beberapa jenis barangan mengikut musim perayaan dikenal pasti dan ditetapkan harga maksimum di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit dalam tempoh
KPDN Wilayah Persekutuan Labuan akan terus komited memastikan pematuhan peniaga terhadap perundangan yang dikuatkuasakan bagi menjamin kestabilan harga serta melindungi kepentingan pengguna.
Junaidah berkata, KPDN Wilayah Persekutuan Labuan mengalu-alukan dan menggalakkan orang ramai untuk terus menjadi mata dan telinga Kerajaan dengan menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan salah laku, aktiviti penyelewengan dan pelanggaran undang-undang di bawah seliaan KPDN melalui saluran rasmi yang disediakan.



