Kontinjen Labuan Masters berjaya membawa pulang 8 pingat keseluruhannya.
LABUAN: Kontinjen Labuan Masters berjaya memenangi 8 pingat keseluruhannya di 12th Sabah Open Masters Athletics Championship (SAMOC) 2024 yang berlangsung di Stadium Kompleks Sukan Keningau, Sabah pada 21 – 22 September lalu.
Pengerusi Persatuan Atlet Veteran WP. Labuan, Adnan Haji Talipudin berkata Kontinjen Labuan Masters meraih dua pingat emas, empat pingat perak dan dua pingat gangsa.
Dua pingat emas itu diperolehi menerusi Marta Basa Lokman bagi kategori umur 50-54 dalam acara 100 meter dan lompat kijang.
Beliau yang juga Pengurus Pasukan turut memenangi masing-masing 1 perak dan 1 gangsa menerusi lompat jauh dan lempar cakera.

Marta Basa Lokman memenangi pingat emas acara 100 meter
Tiga pingat perak disumbangkan Rukiah Talip (55-59) menerusi acara 100 meter, 200 meter dan 400 meter.
Andrew Clement (55-59) turut menyumbang 1 gangsa menerusi acara 5,000 meter.
Kuartet yang dibarisi Marta Lokman, Martinah Lokman, Santy Yusof dan Rukiah Talip turut meraih gangsa menerusi acara 4 X 400 meter (50 ke atas).
Kontinjen Labuan Masters diwakili tujuh atlet iaitu Marta Lokman, Martinah Lokman, Santy Yusof, Rukiah Talip, Andrew Clement, Nazri Wasimin dan Ardzi Silimin.
Adnan berkata kontinjen Labuan Masters berjaya menduduki tempat yang ke-19 daripada 30 pasukan yang mengambil bahagian dalam sukan tahunan berkenaan.

Rukiah Talip (kiri) menyumbangkan tiga pingat perak.
Beliau mengucapkan syabas dan tahniah atas kejayaan atlet yang dihantar pada kali ini.
Katanya, meski pun jumlah bilangan atlet yang sedikit, namun atlet yang mewakili pasukan Labuan Masters pada tahun ini cukup bersemangat dan berdisiplin tinggi.
Malah persiapan dari segi latihan pun sederhana sahaja dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Adnan tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada pihak Pengurusan Kolej Matrikulasi Labuan (KML) yang banyak membantu dari segi penggunaan trek latihan untuk atlet-atlet Labuan Masters.
“Tahun ini merupakan tahun yang kedua Labuan Masters mengambil bahagian dalam sukan tahunan itu sejak persatuan ini ditubuhkan pada 1 Februari 2023.
“Sehubungan itu, beliau mahu atlet mengekalkan momentum kecemerlangan untuk menghadapi Kejohanan SAMOC 2025,”katanya.