30 C
Kota Kinabalu
Rabu, April 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Konsert sulung ‘Aku Stacy Menggegar Kota U’ bakal gegar peminat Stacy

Menandatangani simbolik pelancaran Konsert ‘Aku Stacy Menggegar Kota U’

Oleh: LIZA DIN dan ZACHERLYN E

KOTA KINABALU: Bintang pop tanah air,  kelahiran Sabah, Ummu Shaikhah Stacy Anam, atau lebih dikenali sebagai Stacy bakal mengadakan konsert solo mega pertamanya.

“Konsert ini merupakan konsert sulung saya dan saya memang berhasrat untuk merealisasikan konsert ini di Sabah, negeri kelahiran saya, negeri yang memang menjadi nadi hidup saya.

“Aku Stacy Menggegar Kota U’ adalah istimewa yang saya dan pengurusan konsert fokus untuk menceritakan perjalan karier seni saya dari dulu hingga kini,” katanya ketika ditemui pemberita semasa sebuah sesi sidang media di sini pada Khamis.

Menurut Stacy, konsert itu bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 21 Jun 2025, bermula pada pukul 8 malam.

“Konsert ini dibawakan oleh Rhythm & Rhyme Entertainment yang mana Akim Ahmad, sebagai peneraju dan orang yang paling kuat untuk konsert ini, dan ditaja khas oleh U Mobile.

“Terima kasih U Mobile dan untuk tiket sudah mula dijual hari ini,” kata Stacy lagi.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini semenangnya masyur dengan kelincahan beraksi di pentas dan keunikan persembahannya yang memukau peminat.

Stacy yang sentiasa memberikan persembahan ‘power packed’, dengan gaya fesyen luar biasa, nyata menjadi antara artis tempatan Sabah yang cukup dikenali di seluruh negara dan menjadi idola ramai artis tempatan Sabah sendiri.

“Stacy sangat bersyukur kerana Stacy berpeluang, mendapat sokongan semua peminat yang dari awal sejak Akademi Fantasia bersama Stacy, undi Stacy dan sentiasa menyokong kerjaya seni Stacy.

“Stacy memang akan berusaha keras untuk menampilkan persembahan terbaik untuk semua peminat-peminat yang menyokong Stacy dan konsert ini, akan ada segmen-segmen yang Stacy akan tampilkan, kisah Stacy dari mula menyanyi dan perjalanan ini adalah sebuah kenangan yang tidak mungkin Stacy lupakan, sangat berharga untuk diri Stacy,” katanya.

Dalam pada itu, Akim turut berkongsi bahawa perancangan dan penganjuran konsert itu adalah dilaksanakan sepenuhnya oleh mereka dengan dokongan rakan-rakan seni yang juga dibawakan khas dari Semenanjung antaranya pemuzik dan penari-penari yang akan sama mengiringi Stacy.

“Kita semua sama-sama rancang dan akan bergerak bersama untuk konsert Stacy.

“Saya bukan saja sebagai penyokong nombor satu Stacy tapi saya juga bertanggungjawab untuk memastikan kesihatan serta emosi Stacy sentiasa stabil kerana persiapan untuk kita jayakan konsert ini sangat sibuk, saya perlu ada bersama Stacy.

“InsyaAllah, saya juga akan bersama Stacy untuk persembahan duet kami, lagu duet kami semasa konsert nanti dan ada beberapa rakan-rakan artis kita yang dari Semenanjung dan dari Sabah juga kita bawa bersama untuk pentas kita nanti, tunggu dan datang ke konsert nanti jika mahu tahu siapa,” kata Akim sambil tersenyum semasa ditanya oleh pemberita.

Bagi peminat Stacy yang ingin mendapat tiket konsert ‘Aku Stacy Menggegar Kota U’, anda boleh mula membuat pembelian tiket di www.ticket2u.com

Tiket konsert bermula dari harga RM137 (Jahat), RM197 (Gilalah), RM257 (Pelangi Senja) untuk kategori Free Standing dan RM399 (Aku Stacy) serta RM6,000 (Not For Sale) bagi kategori VIP dan VVIP Seating.

Sebarang info dan maklumat lanjut berkenaan konsert ‘Aku Stacy Menggegar Kota U’ boleh diperoleh melalui akau media sosial rasmi Stacy dan saluran U Mobile.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN