CENDERAMATA…James (kanan) menerima cendermata disampaikan Zulkifli Hashim, Timbalan Ketua Pengarah JPNIN
SANDAKAN: Kementerian Perpaduan Negara telah menghasilkan Kerangka Perpaduan Malaysia Madani melalui konsep perpaduan dalam kepelbagaian, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Bin Ratib.
Melalui kerangka ini, katanya, Kembara Perpaduan Malaysia Madani telah dijadikan flagship utama kementerian dalam mencapai perpaduan nasional.
James yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Negeri Sabah merangkap ADUN Sugut berkata demikian semasa merasmikan penutupan Sambutan Minggu Perpaduan peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 di Sandakan pada hari Ahad.
“Program kita pada hari ini iaitu sambutan Minggu Perpaduan 2025 adalah merupakan inisiatif di bawah kluster semarak perpaduan yang bertujuan menyemarakkan semangat perpaduan serta menyebarluas pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian adat dan budaya dalam masyarakat di negeri Sabah khususnya,” katanya.
Tambhanya, pelbagai aktiviti menarik yang dapat memupuk keharmonian masyarakat melalui detik-detik perpaduan telah dan sedang dilaksanakan.
Dalam program itu turut diadakan pameran Rumah Kami yang terdiri dari pelbagai etnik seperti rumah Melayu, rumah Cina, rumah India, rumah Suluk, rumah Dusun Labuk, rumah Bugis, rumah masyarakat Brunei, rumah Bajau dan rumah Sungai.
Menurt James lagi, tiga kluster utama Kembara Perpaduan Malaysia Madani adalah Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan dan Komuniti Rahmah.
Setiap kluster ini, katanya, mempunyai tujuan utamanya iaitu memupuk semangat kekitaan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat melalui usaha memartabatkan Rukun Negara.
Di samping itu, katanya, ia juga termasuk meraikan perbezaan dalam kepelbagaian melalui elemen seperti kebudayaan, pendidikan dan rekreasi serta memberi pendekatan untuk memangkin kesejahteraan serta keharmonian komuniti meliputi aspek ekonomi, kesihatan, kenergaraan, kebudayaan dan alam sekitar.
“Melalui pelaksanaan program-program di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional ini, saya ingin mengajak seluruh rakyat sabah agar kita mengenepikan perbezaan dan memperkukuhkan nilai-nilai permuafakatan bagi memperkasakan perpaduan nasional.
“Usaha mencapai perpaduan merupakan suatu perjalanan yang jauh dan berliku, justeru kita semua mesti sentiasa membetulkan niat dan memperkasa usaha.
“Sambutan minggu perpaduan Sabah2025 bersama untuk memastikan Sabah kekal sebagai sebuah negeri yang kukuh teras perpaduannya.
“Bukan sahaja untuk generasi masa kini, tetapi demi masa depan anak cucu kita nanti,” kata beliau.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Presdien Majlis Perbandaran Sandakan dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan
Integrasi Nasional atas penganjuran program ini.
“Saya mengharapkan agar negara kita amnya dan Negeri Sabah khususnya terus makmur dan kekal kukuh sebagai negara dan negeri yang bersatu padu dan harmoni,” katanya.



