AHMAD MASLAN bersama barisan kepimpinan UMNO lima peringkat Bahagian Labuan pada Majlis Ramah Mesra bersama YB Datuk Ahmad Maslan anjuran UMNO Bahagian Labuan di Desa Tunas Hijau pada Ahad.
LABUAN: Usaha UMNO Bahagian Labuan yang berjaya melaksanakan UMNO lima peringkat membabitkan Bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri dan terbaharu Veteran UMNO bakal diperluaskan ke seluruh UMNO Bahagian di Malaysia.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad berkata, konsep yang diperkenalkan oleh UMNO Bahagian Labuan itu perlu dicontohi kerana ia memberi pengiktirafan kepada ahli veteran parti yang telah memperjuangkan UMNO selama ini.
“ Istilah lima peringkat Bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri dan Veteran UMNO akan menjadi perintis untuk dilaksanakan di kawasan saya di Pontian dan seterusnya akan dibincangkan dalam mesyuarat AMT untuk diperluaskan di seluruh 190 UMNO Bahagian”katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra bersama kepimpinan lima peringkat UMNO Labuan di Desa Tunas Hijau, dekat sini, pada malam Ahad.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan, Timbalannya Datuk Bashir Alias serta kepimpinan UMNO lima peringkat.
Ahmad berkata, Veteran UMNO adalah merupakan ahli yang amat setia kepada UMNO dan perlu diberikan pengiktirafan dan penghargaan dan ini sudah pasti mereka akan rasa dihargai apabila mereka tidak disisihkan.
Katanya, pengiktirafan veteran UMNO di setiap bahagian bukan saja memperkukuhkan kekuatan parti tetapi juga dapat mengeratkan lagi kepimpinan lama dengan generasi baharu selain bekerjasama membantu dan membela rakyat dan parti.
Sementara itu, Ahmad berkata pelaksanaan program Peduli Rakyat dan Program Sentuhan Kasih yang dianjurkan oleh UMNO Bahagian Labuan juga perlu dicontohi oleh UMNO Bahagian yang lain.
Katanya, kedua dua program itu mampu mendekati nadi denyut rakyat.



