Gambar atas: Pusat Dialisis Nobel yang terdapat di daerah Kota Belud.
RANAU: Kerajaan wajar mewujudkan sebuah Pusat Dialisis untuk kemudahan para pesakit buah pinggang di daerah ini mendapatkan perkhidmatan dialisis.
Menegaskan perkara itu, Kong Soon Choi yang juga Ketua Wiramuda Star Sabah berkata, ketika ini pesakit buah pinggang yang menjalani prosedur itu terpaksa mendapatkan rawatan tersebut di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu kerana beliau difahamkan Pusat Dialisis di Hospital Daerah Ranau tidak mencukupi.
“Mungkin kerajaan boleh menarik sebuah syarikat swasta seperti Pusat Dialisis Nobel di Kota Belud yang sudah tentu memberikan kemudahan kepada para pesakit yang memerlukan”. Jelasnya.

KONG SOON CHOI
Tegasnya, perjalanan jauh antara Daerah Ranau ke Kota Kinabalu bagi mereka yang menghidap penyakit buah pinggang mungkin menambah risiko kesihatan mereka dan sudah tentu kemudahan dialisis di daerah ini antara keperluan utama.
Kong yang juga Ahli Majlis Daerah Ranau bersedia untuk membawa perkara ini dalam perbincangan dengan pihak berwajib untuk mendapatkan permis sesuai jika cadangan tersebut dipertimbangkan kerajaan.
“Sebagai Ahli Majlis Daerah Ranau, saya bersedia berbincang dengan pihak MDR untuk mendapatkan bangunan sesuai didirikan sebuah Pusat Dialisis jika cadangan ini dipertimbangkan”. Jelasnya pada Rabu.
Pusat Dialisis Nobel yang terdapat di daerah Kota Belud.